Anggota polis ditahan pukul kekasih

Mangsa yang cedera diserang kekasihnya di sebuah apartment di Jalan Puchong Jaya, dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut.
Mangsa yang cedera diserang kekasihnya di sebuah apartment di Jalan Puchong Jaya, dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut.
A
A
A

SERDANG - Seorang anggota polis ditahan kerana mencederakan teman wanitanya berusia 46 tahun di sebuah apartment di Jalan Puchong Jaya di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 6 petang di apartment tersebut susulan kejadian itu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, anggota berusia 34 tahun itu datang ke apartment mangsa sebelum mengarahkan mangsa untuk turun berjumpa dengannya.

"Bagaimanapun mangsa enggan hingga anggota terbabit bertindak memecahkan cermin tiga buah kenderaan jenis Honda Civic, Satria Neo dan Perodua milik mangsa, anak dan menantunya.

"Mangsa yang kemudian turun bertemu dengan kekasihnya sebelum dipukul dengan sebatang besi hingga mengalami kecederaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan mendapati anggota terbabit bertugas di Kuala Lumpur dan motif kejadian dipercayai kerana cemburu.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: