'Jangan terlalu cepat rai penyingkiran saya'

Ahmad Faizal bersama isteri memberikan ucapan khas menerusi satu video yang dimuat naik di dalam saluran YouTube, semalam.
Ahmad Faizal bersama isteri memberikan ucapan khas menerusi satu video yang dimuat naik di dalam saluran YouTube, semalam.
A
A
A

IPOH - Penyokong UMNO dinasihatkan tidak terlalu teruja dengan kejayaan menyingkirkan Menteri Besar Perak melalui usul undi percaya di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penyingkiran beliau itu ada hikmahnya terutama kepada gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Bersatu, Pas dan UMNO.

Beliau turut mengingatkan ahli Bersatu supaya menerima keadaan itu dengan tenang dan berlapang dada.

"Kepada penyokong UMNO, saya menasihatkan supaya tidak terlalu cepat membakar bunga api merayakan umpama penyingkiran saya sebagai satu kejayaan kepada UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa di Seri Satria, seloroh Ahmad Faizal

Ahmad Faizal umum letak jawatan MB Perak

Jangan balas dendam: Ahmad Faizal

'Ada pihak pujuk ADUN tolak undi percaya MB Perak'

Artikel Berkaitan:

"Pada saya, apa juga yang berlaku adalah satu tamparan kepada kerajaan kita, kerajaan UMNO, Bersatu dan Pas. Tamparan ini jangan pula terkena tempiasnya kepada semua peringkat," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik ke dalam saluran YouTube semalam.

Video berdurasi 7:28 itu memaparkan ucapan beliau ditemani isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi.

Ahmad Faizal dalam video itu turut berterima kasih kepada semua pimpinan dan ahli Bersatu Perak yang mendoakan kemelut politik di negeri ini diselesaikan dengan baik.

Beliau turut meminta semua ahli Bersatu terus mengamalkan politik kasih sayang sama ada daripada DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)

"Kita korbankan diri kita untuk kepentingan rakyat. Kita tak nak bermusuh dengan orang ramai, kita tak nak bermusuh dengan sesiapa juga. Jadi jangan bimbang tentang keadaan kita.

"InsyaALLAH kalau kita sentiasa mempunyai niat yang baik secara ikhlas kita lakukan apa sahaja perbuatan demi rakyat, kerana ALLAH, tentu sekali ALLAH akan permudahkan segala urusan kita," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun memberitahu beliau dan isteri tidak ada masalah dengan perkara yang berlaku walaupun memberi sedikit kesan kepada mereka.

"Jangan bimbang, saya dan isteri walaupun saya mangsa di sini, saya boleh kekal tenang dan saya percaya semua ahli-ahli kita juga boleh kekal tenang. Tak payah bergaduh di Facebook.

"Kepada semua, don't worry, kami terjelepok sikit tapi masih boleh berdiri, InsyaALLAH akan berdiri dengan lebih tinggi, lebih gagah. Selepas ini saya akan bekerja kuat untuk parti, doakan saya semoga ALLAH merahmati kita semua," katanya lagi.

Semalam, Ahmad Faizal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak hari ini selepas hilang majoriti sokongan ADUN di DUN Perak.

Pada sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini, beliau turut mengumumkan peralihan kuasa kerajaan negeri dan kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perak gugur secara automatik.