X

Kindly register in order to view this article
!

Tangani masalah pembelajaran online penuntut IPT

Dr Mansor (tengah) menyaksikan Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin (kiri) menyampaikan replika cek berjumlah RM35,000 kepada Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Perai Tengah, Suria Baharum (kanan) ketika Program Sumbangan Komuniti @ Permatang Pauh, Bukit Mertajam hari ini.
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pengajian Tinggi akan terus berusaha menangani masalah pembelajaran dalam talian yang sedang dihadapi sebahagian besar penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mansor Othman berkata, pihaknya mengakui pada masa ini terdapat dua cabaran besar yang sedang dihadapi penuntut menerusi pelaksanaan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian iaitu akses internet dan peralatan atau peranti yang digunakan bagi kaedah pembelajaran mengikut medium berkenaan.

“Memang (masalah akses internet) ini suatu isu yang besar. Selain itu, peranti elektronik seperti komputer turut menjadi kekangan kepada penuntut untuk menjalankan tugasan semasa belajar di rumah.

“Maka, untuk mengatasi masalah ini Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa bekerjasama dengan lain-lain agensi seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menyelesaikan isu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas program Sumbangan Komuniti @Permatang Pauh di sini hari ini.

Mansor berkata, bagi mengurangkan masalah lemah capaian internet, pelbagai langkah telah diambil oleh kementerian untuk membantu penuntut antaranya mewujudkan pusat internet setempat di seluruh negara bagi membolehkan pelajar yang tidak berada di kampus serta yang tidak memiliki akses internet di rumah untuk menggunakan khidmat pusat internet berkenaan.

“Selain itu, pemberian bantuan one-off kepada penuntut yang terjejas Covid-19 turut diberikan manakala bagi penuntut yang perlu menjalani latihan amali, kita benarkan mereka pulang ke kampus untuk tujuan tersebut,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!