X

Kindly register in order to view this article
!

Berjayakah krisis Qatar diselesaikan?

Krisis hubungan Qatar dengan empat buah negara Arab bermula sejak Jun 2017 lagi.
A
A

KRISIS antara Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir dengan Qatar bermula pada Jun 2017 selepas empat buah negara Arab itu menuduh Doha menyokong keganasan dan hubungannya yang dikatakan semakin rapat dengan Iran.

Ia menyebabkan empat buah negara itu memutuskan hubungan diplomatik, perdagangan dan pelancongan dengan Qatar.

Pakatan itu yang diketuai oleh Arab Saudi juga mengeluarkan 13 tuntutan ke atas Qatar yang antaranya meminta stesen televisyen Al Jazeera dan pangkalan tentera Turki di negara tersebut ditutup.

Tuntutan itu turut melibatkan permintaan supaya Doha menamatkan hubungan dengan musuh Riyadh iaitu Iran tetapi semua permintaan daripada empat buah negara tersebut dianggap sebagai tidak realistik untuk dipenuhi.

Pada tahun 2018, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pernah berkata bahawa kehadiran tentera negara itu di Qatar sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan krisis Asia Barat itu.

Sebelum ini, Turki dilihat sebagai penyokong sebuah pertubuhan Islam iaitu Ikhwanul Muslimin yang telah ditubuhkan di Mesir pada tahun 1920-an dan terlibat dalam gerakan menentang pentadbiran British melalui sayap separa tenteranya sebelum negara itu bebas daripada cengkaman negara Barat tersebut.

Arab Saudi sebelum melaksanakan kempen boikot barangan import dari Turki.
Arab Saudi sebelum melaksanakan kempen boikot barangan import dari Turki.

Kaherah pernah melabelkan kumpulan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas pada tahun 2013 iaitu selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden pada tahun 2011 dan setelah parti politik yang menyokong pertubuhan tersebut menang kerusi Parlimen di Mesir.

Mesir juga telah memenjarakan ribuan anggota dan penyokong kumpulan itu sejak Mohammed Mursi yang juga anggota kumpulan tersebut digulingkan oleh pihak tentera.

Ia berlaku selepas protes besar-besaran rakyat yang tidak berpuas hati dengan beberapa isu di bawah pemerintahannya seperti monopoli kuasa, mendesak pelaksanaan undang-undang Islam, krisis ekonomi dan keselamatan di Mesir.

Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin menafikan mempunyai kaitan dengan keganasan yang dilakukan oleh Al-Qaeda dan kumpulan militan Daesh di negara itu.

Stesen televisyen Al Jazeera dimiliki oleh kerajaan Qatar dan dikatakan memberikan laporan berat sebelah seperti alasan Bahrain bahawa laporan beritanya dilihat menentang negara tersebut dan berat sebelah ke arah Israel.

Walaupun krisis itu masih belum selesai, Kuwait dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan berusaha untuk menamatkan masalah yang dihadapi Qatar itu.

Baru-baru ini, Menteri Luar Kuwait, Sheikh Ahmad Nasser al-Sabah dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud mengumumkan bahawa krisis dengan Qatar itu akan berjaya diselesaikan tidak lama lagi.

Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani pula menyambut baik kenyataan Kuwait itu tetapi beliau tidak mampu meramalkan adakah isu Doha dipinggirkan itu akan benar-benar diselesaikan.

Sementara itu, Washington dikatakan mahu isu Qatar dipulaukan oleh empat buah negara Arab itu diselesaikan kerana ia mahu negara-negara Teluk bersatu menghadapi ancaman dari Iran berhubung isu program nuklearnya.

Ironinya, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dalam satu ciapan di Twitter baru-baru ini berharap perdamaian yang akan dicapai di rantau Teluk itu menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan politik serta ekonomi untuk penduduk di rantau tersebut.

Rumah Putih mahu negara-negara Teluk bersatu bagi menghadapi Iran yang kini berbalah dengan Amerika Syarikat.
Rumah Putih mahu negara-negara Teluk bersatu bagi menghadapi Iran yang kini berbalah dengan Amerika Syarikat.

Justeru, Teheran yang tidak disukai oleh AS itu turut menyambut baik jika negara-negara Teluk yang berbalah itu kembali kepada perdamaian.

Perkembangan yang positif itu juga berlaku selepas seorang saintis nuklear Iran yang dianggap sebagai bapa program nuklear Iran, Dr Mohsen Fakhrizadeh terkorban dalam serangan hendap di luar ibu negara pada hujung November lalu.

Petanda pemulihan hubungan antara empat buah negara Arab dengan Qatar itu juga semakin jelas selepas hubungan Arab Saudi dengan Turki yang sebelum ini tegang dikatakan akan kembali pulih.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dilaporkan menghubungi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan panggilan telefon untuk membincangkan cara bagi memperbaiki hubungan antara kedua-dua negara pada November lalu.

Hubungan kedua-dua negara mengalami kemuncak ketegangan selepas seorang wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang juga kolumnis akhbar The Washington Post dibunuh kejam di Konsulat Arab Saudi di Istanbul ketika beliau mahu mendapatkan dokumen untuk berkahwin dengan tunangnya iaitu rakyat Turki.

Pembunuhan itu juga menyebabkan kempen memboikot barangan Turki yang dilakukan secara tidak rasmi di Arab Saudi kemungkinan akan berakhir.

Bagaimanapun, tanda-tanda awal pemulihan hubungan empat buah negara dengan Qatar sudah kelihatan cuma bila ia akan menjadi kenyataan menjadi persoalan yang ditunggu-tunggu umat Islam ketika ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!