Mansuh UPSR: Guru boleh fokus kemenjadian murid

Aminuddin Awang
Aminuddin Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyambut baik sebarang usaha ke arah memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, apabila UPSR dimansuhkan, guru-guru boleh memberi fokus kepada kemenjadian dan pendidikan murid secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, NUTP mahu semua pihak khususnya masyarakat melihat kembali matlamat pendidikan murid di sekolah rendah iaitu untuk memastikan perkembangan potensi murid secara seimbang dan sepadu.

“Perkembangan ini sudah pastinya meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia,” katanya kepada Sinar Ahad di sini semalam.

Menurutnya, selama ini UPSR lebih dilihat sebagai medium persaingan murid-murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mungkin dimansuhkan

“Mereka hanya menumpukan keputusan cemerlang dalam Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris Pemahaman, Bahasa Inggeris Penulisan, Matematik dan Sains.

“Jadi, bagaimana pula dengan mata pelajaran lain seperti Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani, Pendidikan Muzik, Pendidikan Moral, Pendidikan Seni Visual, Reka Bentuk teknologi, sejarah dan yang lainnya?

“Bagaimana dengan penguasaan murid-murid dalam mata pelajaran tersebut yang pada hakikatnya turut mempunyai falsafah dan matlamat yang tersendiri ke arah memastikan lahir generasi yang seimbang dalam pelbagai aspek khasnya rohani, jasmani, emosi dan intelek,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin berkata, pemansuhan UPSR sangat relevan dengan perkembangan semasa dunia pendidikan selain untuk memastikan pendidikan negara bukan lagi berorientasikan peperiksaan.

Beliau berkata, sekiranya ada dakwaan menyatakan murid-murid akan malas belajar kerana tiada ujian besar, maka semua pihak perlu berusaha untuk memperkasa dan memastikan matlamat Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) direalisasikan.

“Jika UPSR dimansuhkan, masih ada tiga lagi komponen yang perlu dilalui oleh murid-murid iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikukum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik,” katanya.

Sebelum ini, NUTP mahu UPSR dimansuhkan dalam usaha transformasi sistem pendidikan berteraskan penilaian peperiksaan, selain melahirkan murid yang lebih baik.