Wajar mansuh UPSR, pelajar tidak terlalu fokus peperiksaan

Amirul Syahir, Noor Halini
Amirul Syahir, Noor Halini
A
A
A

ALOR SETAR - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) wajar dimansuhkan agar pelajar lebih santai dan tidak terlalu fokus pada peperiksaan.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bersatu di sini, Noor Halini Allias, 36, berkata, berdasarkan pengalamannya ketika pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) pada tahun 2016, pelajar-pelajar dilihat lebih seronok dan menikmati alam pembelajaran yang sebenar.

“Mereka tidak tertekan dengan peperiksaan malah guru juga dapat melihat tahap penguasaan pelajar secara individu dengan lebih menyeluruh seterusnya mengambil langkah intervensi untuk membantu pelajar mencapai tahap penguasaan tertentu.

“Jadi penilaian pelajar bukan hanya pada peperiksaan sahaja. Kita bukan hendak mengejar gred A semata-mata tetapi pembentukan akhlak, perkembangan kemahiran dan kemenjadian murid itu yang menjadi fokus,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mungkin dimansuhkan

Mengulas lanjut, Noor Halini berkata, beliau yakin Kementerian Pendidikan telah merangka satu penilaian secara menyeluruh kesinambungan daripada PBD untuk menggantikan.

“Sebagai guru saya menyokong sepenuhnya usaha ini dan yakin ibu bapa di luar sana juga menyambut baik sekiranya Kementerian Pendidikan memansuhkan UPSR,” katanya.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPMS) Cawangan Kuala Kedah tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk memansuhkan UPSR selain menggunakan kaedah pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga kepada murid UPSR.

Yang Dipertuanya, Amirul Syahir Musa berkata, usia 12 tahun bukan suatu peringkat usia yang matang untuk melalui semua kaedah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ujian tersebut terutamanya temu duga selalunya dilalui oleh pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas kerana usia mereka yang lebih matang.

“Kaedah itu bagi saya tidak memberi impak yang besar kepada pembelajaran dan juga masa depan murid untuk mereka menyesuaikan diri dengan pembelajaran di peringkat menengah,” katanya.Menurutnya, sekarang bukan masa yang sesuai untuk kerajaan memansuhkan UPSR kerana negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

“Ketika ini semua pihak terkesan bukan sahaja bidang pendidikan, jadi seeloknya kerajaan meneliti semula cadangan berkenaan,” katanya.

INFO PEPERIKSAAN UPSR

* Dimulakan pada tahun 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima.

* Pada tahun 1995, format Matematik diubah dengan memperkenalkan soalan subjektif.

* Pada tahun 2001, penilaian dibuat termasuklah kerja sekolah calon. Pada tahun yang sama, subjek Sains diperkenalkan dalam kertas peperiksaan UPSR dan melibatkan amali Sains.

* Pada tahun 2016, kertas Bahasa Inggeris dipecahkan kepada 2 kertas berasingan iaitu kertas Pemahaman dengan dua bahagian, Bahagian A (objektif) dan B (subjektif) dan kertas Penulisan.

* Calon yang mengambil UPSR pada 2016 ialah mereka yang pertama mengaplikasikan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

* Semua soalan dalam kertas UPSR mempunyai elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang melibatkan soalan berbentuk subjektif untuk kertas soalan Bahasa Melayu Pemahaman (Bahagian B) dan kertas Bahasa Inggeris Pemahaman (Bahagian B).

* Pada awalnya, PBS dijangka melibatkan 40 peratus markah perolehan murid bermula dari 2011, ketika murid berada di Tahun Satu sehingga Tahun Enam dalam penilaian di sekolah dan 60 peratus pula adalah daripada kertas peperiksaan UPSR itu sendiri.

* Namun pada akhir tahun 2016, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan bahawa keputusan UPSR adalah 100 peratus daripada kertas peperiksaan, sekali gus menidakkan penilaian PBS dibuat selama 6 tahun bermula pada 2011.

* Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara, KPM pada 15 April lalu membuat keputusan untuk membatalkan UPSR pada tahun 2020, begitu juga dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

* KPM tidak bercadang membuat kajian sama ada UPSR akan diganti dengan ujian baharu yang sama fungsi dengannya. Sebaliknya, pencapaian akademik murid Tahun Enam dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temu duga bagi penempatan di lima jenis sekolah khusus.