Tokan dadah kampung ditahan

Antara dadah yang dirampas daripada suspek.
Antara dadah yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Dua lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad ini kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah sekitar kawasan itu sejak lima bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-duanya berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan pada jam 6 petang menerusi rondaan cegah jenayah di Kampung Padang Gertak, Pulau Tiga di sini, semalam.

“Semasa tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan antara suspek dan polis. Pemeriksaan pada lelaki berusia 34 tahun itu menemui dadah dipercayai heroin seberat 24.65 gram bernilai RM700.

“Pemeriksaan pada suspek kedua pula menemui dadah jenis methamphetamine seberat 5.27 gram bernilai RM800. Kedua-dua mereka dibawa ke balai untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang juga penganggur itu positif morfin dan methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing.

“Mereka ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam dapa itu, Mohamad Zainal berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah berjaya membuat 104 tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kes pengedaran dan penagih dadah, bulan lalu.

“Daripada jumlah itu, sembilan ditangkap kerana mengedar dadah manakala 34 orang ditahan di bawah Seksyen 12(2) iaitu memiliki dadah dan 23 ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) kerana mengambil dadah.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, 22 lagi ditangkap di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah 1983. Seramai lapan orang dituduh mengikut Seksyen 39C dan dua orang ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya.