Kutipan hasil Pahang RM777 juta

Wan Rosdy menyampaikan anugerah kepada wakil agensi sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen ‘Let’s Do It Right’ anjuran PlanMalaysia@Pahang di Tanah Rata kelmarin.
Wan Rosdy menyampaikan anugerah kepada wakil agensi sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen ‘Let’s Do It Right’ anjuran PlanMalaysia@Pahang di Tanah Rata kelmarin.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS – Prestasi kutipan hasil Pahang melepasi jangkaan apabila mencatatkan jumlah kutipan RM777 juta tahun ini berbanding anggaran RM744.02 juta pada Belanjawan Pahang 2020.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, prestasi kutipan melepasi jangkaan itu turut dicapai tahun lalu dengan jumlah kutipan RM847.3 juta berbanding jangkaan RM703.8 juta.

Menurutnya, dalam tempoh berbaki 27 hari menjelang 31 Disember 2020, beliau yakin jumlah kutipan hasil negeri akan bertambah.

“Prestasi ini sudah tentu suatu yang membanggakan kerana di sebalik kesan ketidaktentuan sosioekonomi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 sejak Mac 2020, hasil Pahang kekal memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Kempen ‘Let’s Do It Right’ anjuran PlanMalaysia@Pahang dengan kerjasama Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan SWCorp Negeri di Tanah Rata di sini kelmarin.

Wan Rosdy berkata, daripada jumlah kutipan hasil sebenar tahun ini, RM31.7 juta merupakan hasil kutipan hasil cukai tanah Persekutuan.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) kerana telah melunaskan cukai bagi tanah milik Persekutuan yang berada di negeri ini.

“Kita harap baki RM20 juta lagi dapat dilunaskan kerajaan Persekutuan khususnya PTP sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut berterima kasih kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta agensi terlibat atas kejayaan mengutip hasil sebenar melebihi jangkaan itu.

“Ini kejayaan kita bersama dan insya-ALLAH, lebihan hasil ini kita akan gunakan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Katanya, beliau menjangkakan trend positif itu bakal diteruskan tahun depan (2021) jika semua agensi terlibat terus memainkan peranan dalam usaha mengutip hasil negeri ini.