Harapan Muslim AS kepada Biden

No Image Caption
A
A
A

MASYARAKAT Muslim di Amerika Syarikat (AS) berpendapat mereka terpinggir oleh kedua-dua parti sama ada Republikan mahupun Demokrat. Namun ketika Pilihan Raya Presiden AS 2020, kebanyakan penduduk AS beragama Islam telah membuat keputusan mengundi calon parti Demokrat, Joe Biden kerana rasa tidak puas hati dengan pentadbiran Donald Trump yang tidak mesra kepada penduduk Muslim.

Antaranya, pengharaman kemasukan sesetengah negara majoriti Muslim ke AS. Dasar pengharaman secara am itu telah mengakibatkan ramai mangsa pelarian daripada konflik dan pemerintahan kuku besi di negara asal tidak dapat memasuki AS.

Mereka yang benar-benar ikhlas ingin memasuki AS untuk mendapat perlindungan dan memulakan kehidupan baharu dinafikan kemasukan semata-mata berasal daripada sesetengah negara Islam yang dicap sebagai ‘berbahaya’ sedangkan mereka sudah ada ahli keluarga yang bermastautin di AS.

Ramai penduduk Muslim dari Asia Barat, Asia Selatan dan benua Afrika telah berhijrah ke AS setelah Akta Imigresen dan Kewarganegaraan 1965 dilonggarkan. Sebahagian besar penduduk Muslim di AS kini merupakan generasi kedua dan ketiga golongan yang telah berhijrah pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an.

Walaupun berada di AS sekian lama, ramai penduduk Muslim AS masih mengekalkan identiti Islamik dan etnik dari segi pakaian, bahasa dan makanan. Misalnya, kebebasan wanita Muslim memakai hijab tanpa diskriminisasi di kolej atau di tempat kerja.

Pentadbiran Trump telah memburukkan keadaan dengan retorik yang bersifat Islamophobia dengan pelaksanaan program-program tinjauan keselamatan ke atas masyarakat minoriti, khasnya pelarian dan penduduk migran yang beragama Islam.

Oleh itu, ramai penduduk Muslim AS mengundi parti Demokrat, bukan kerana mereka sayangkan Biden tetapi demi memastikan Trump tidak terpilih bagi penggal kedua. Aspirasi penduduk Muslim di AS telah mengalami perubahan.

Suatu ketika dahulu sebelum peristiwa serangan 9-11, aspirasi masyarakat Muslim AS tertumpu kepada isu-isu dasar luar AS berhubung konflik Arab-Israel, namun sejak 20 tahun lalu, mereka lebih fokus kepada hal domestik seperti isu hak kesamarataan, anti-diskriminisasi dan penjagaan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Penduduk Muslim AS mahu terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, bukan sekadar memegang jawatan pelaksanaan.

Justeru, badan-badan bukan kerajaan yang mewakili penduduk Muslim AS seperti US Council of Muslim Organizations (USCMO) dan Emgage Action telah menggesa agar lebih pengiktirafan serta penyertaan aktivis dan ahli politik beragama Islam dalam penggubalan dasar.

Pelantikan jawatan penting dalam kerajaan untuk penduduk Muslim AS tidak harus dibuat atas dasar pemberian ihsan atau pelantikan politik sebagai penghargaan atas sokongan ketika pilihan raya, sebaliknya berdasarkan prinsip pengiktirafan atas kebolehan dan sumbangan masyarakat Muslim.

Sememangnya tidak dapat dinafikan sumbangan masyarakat Muslim AS, antaranya Asad Abidi (Profesor Kejuruteraan Elektrik di University of California, Los Angeles), Aziz Sancar yang merupakan pemenang Hadiah Nobel Kimia 2015 dan Ahmed Zewail (pemenang Hadiah Nobel dalam Kimia 1999).

Dalam bidang perniagaan, antara tokoh terkenal ialah Mohamed A El-Erian yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif PIMCO, pengurus aset global bernilai lebih $1 trilion. Terdapat juga perwakilan di Kongress AS yang beragama Islam seperti Rashida Tlaib dari Michigan, Ilhan Omar (Minnesota) dan Ghazala Hashmi yang merupakan Senator Muslim AS pertama dari Virginia.

Biden telah berjanji memansuhkan dasar-dasar rasis dan tidak mesra Muslim pentadbiran Trump. Namun, perlu ditegaskan bahawa Biden telah menyatakan pendiriannya untuk mengekalkan dasar pentadbiran Trump untuk menempatkan kedutaan AS di Baitulmaqdis.

Biden juga telah berjanji untuk memastikan hak dan kebebasan masyarakat Muslim terus terpelihara. Namun, hanya masa yang dapat membuktikan sejauh mana pentadbiran Biden akan mengotakan janji-janjinya kepada masyarakat Muslim AS.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya