JHL Sabah pasang perangkap buaya di Sungai Kampung Mengkabong

JHL Sabah akan memasang perangkap buaya di Sungai Kampung Mengkabong, dekat Tuaran, bagi menangkap reptilia itu yang dipercayai menyerang seorang remaja lelaki Khamis lalu. Gambar hiasan 123RF
JHL Sabah akan memasang perangkap buaya di Sungai Kampung Mengkabong, dekat Tuaran, bagi menangkap reptilia itu yang dipercayai menyerang seorang remaja lelaki Khamis lalu. Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah akan memasang perangkap buaya di Sungai Kampung Mengkabong, dekat Tuaran, bagi menangkap haiwan reptilia itu yang dipercayai menyerang seorang remaja lelaki Khamis lalu.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan mula memasang perangkap buaya di kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Kami telah melawat tempat kejadian dan memang ia kawasan habitat buaya. Kawasan ini terlalu luas dan kami akan cuba memasang perangkap buaya dalam tempoh terdekat ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, Khamis lepas, mangsa, Azlan Arif Abdullah terselamat daripada dibaham buaya selepas enam rakannya ‘membelasah’ buaya terbabit, bagaimanapun, remaja berusia 16 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian badan, kaki kanan dan perut.

Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Mohd Hamizi Halim, buaya berukuran kira-kira 1.52 meter panjang itu menyerang dan menggigit seorang daripada kumpulan remaja dan kanak-kanak yang berumur antara sembilan dan 16 tahun ketika mereka sedang mencari lokan dan siput di sungai berkenaan.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuaran dan akan dirujuk ke Hospital Kota Belud atau Hospital Papar untuk menerima rawatan lanjut susulan kecederaan teruk yang dialami.

Sementara itu, Augustine turut mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan yang menjadi habitat buaya bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Sekiranya boleh dielakkan, maka elakkan (melakukan aktiviti di kawasan tersebut),” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: