Melaka United tidak letak sasaran tinggi

Melaka United tidak meletakkan sasaran tinggi dalam saingan Liga Super musim depan. Foto Melaka United
Melaka United tidak meletakkan sasaran tinggi dalam saingan Liga Super musim depan. Foto Melaka United
A
A
A

MELAKA United FC tidak meletakkan sasaran tinggi dalam saingan Liga Super musim depan dengan kedudukan tempat keempat dan keenam liga dilihat relevan untuk pasukan Hang Jebat itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kemampuan kewangan yang telah ditetapkan.

“Melaka United FC telah menetapkan peruntukan kewangan yang relevan bagi mempersiapkan pasukan bagi memberi saingan dalam Liga Malaysia 2021.

“Bagi saingan Liga Super 2021, sasaran yang ditetapkan adalah menamatkan tempat keempat hingga keenam liga berdasarkan kemampuan prestasi dan kewangan yang ditetapkan.

“Bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula sasaran yang diletakkan adalah mara sejauh mungkin, jika salah satu pertandingan ini Melaka United FC mampu mara ke perlawanan akhir, ia adalah pencapaian terbaik buat ketua jurulatih,” katanya.

Untuk rekod, Melaka United berada di kedudukan kesembilan dalam saingan Liga Super musim lalu dan tewas kepada Selangor 1-2 dalam pusingan pertama Piala Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan pasukan tersebut akan dikenali sebagai Melaka United FC (MUFC) pada musim depan selaras dengan kehendak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan semua pasukan diswastakan sepenuhnya.

“Ini bermakna pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga sama ada Liga Super atau Liga Premier yang telah diswastakan sebagai kelab bola sepak layak untuk bertanding dalam semua pertandingan bola sepak anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel Berkaitan:

“Untuk makluman semua, Melaka United FC telah pun didaftarkan di bawah Melaka United Football Club Sdn Bhd yang diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, telah diperbadankan sebagai Syarikat Persendirian di bawah Akta Syarikat 2016 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 10 Ogos 2020,” katanya.