X

Kindly register in order to view this article
!

Hubungan selepas mati

A
A

PADA 2 Disember, 9 tahun lalu, ayah saya meninggalkan kami buat selama-lamanya. Kematian bukanlah sesuatu yang ditunggu-tunggu kebanyakan manusia, namun mati itu pasti.

Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak tahu bila malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa kita. Ia kekal menjadi rahsia ALLAH SWT.

Apa yang perlu kita lakukan adalah membuat persediaan yang perlu bagi menghadapi kematian yang pasti itu.

Lazimnya, apabila kematian berlaku kepada ahli keluarga, kita berdukacita. Perasaan itu bukanlah suatu yang abnormal kerana mengenangkan segala memori bersama si mati, perasaan sayang dan rindu yang bakal menjelma kepada si mati. Malah, sebahagian kita beranggapan sudah putus hubungan antara waris yang ditinggalkan dengan si mati.

Mungkin benar, hubungan biasa dilakukan seperti bercakap dan melakukan sesuatu tindakan bersama tidak dapat lagi dibuat, namun hubungan itu masih boleh dijalinkan dalam bentuk berlainan pula. Umpamanya, bagi menguruskan penyempurnaan jenazah adalah lebih diutamakan ahli waris yang menguruskannya termasuklah memandikan, mengkafankan, mengimamkan solat jenazah dan mengebumikan jenazah tersebut.

Jadi, persediaan hendaklah dibuat bagi kita mempelajari bagaimana menguruskan jenazah. Ilmu itu sangat penting sekiranya kematian berlaku kepada saudara-mara terdekat. Kita tidak lagi mengharapkan orang lain menguruskan jenazah orang tersayang tetapi menguruskannya sendiri.

Acapkali kita lihat ahli waris lebih melayan tetamu berbanding memberi khidmat terakhir kepada si mati. Malah, lebih menyedihkan harta yang ditinggalkan si mati pula digunakan untuk menjamu tetamu. Tanpa sedar sebenarnya mereka telah memakan harta anak-anak yatim sekiranya si mati meninggalkan anak-anak kecil. Hukum memakan harta anak yatim adalah jelas keharamannya.

Setelah dikebumikan, si mati akan ditinggalkan di dalam kuburnya berseorangan. Tiada lagi harta, saudara-mara dan pangkat menemaninya. Anak yang soleh masih boleh berhubung dengan si mati dengan menitipkan doa-doa kebaikan buat ayah bonda yang telah meninggal dunia. Hubungan itu masih berterusan walaupun sesudah kematian leluhur iaitu ayah dan ibu.

Amal jariah si mati juga boleh diteruskan agar pahalanya dapat dinikmati si mati yang sudah tidak lagi berupaya melakukan amal soleh. Hanya tiga perkara yang dapat memberi ganjaran kepada si mati iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan anak yang soleh mendoakannya. Waris perlu memastikan tiga perkara tersebut akan berterusan bagi diambil manfaatnya oleh si mati.

Dalam konteks itu, sebenarnya terdapat pelbagai ‘ruang perhubungan’ antara si mati dan ahli waris mereka walaupun mereka tidak dapat berkomunikasi secara langsung.

Bukanlah kasih sayang itu diukur daripada berapa banyaknya air mata yang mengalir tetapi ganjaran yang dapat diberikan bagi meringankan beban si mati di alam barzakh. Parameter sebenar yang dinilai ALLAH SWT adalah bagaimana kita dapat membantu si mati meningkatkan pahala dan amalan mereka.

Berkaitan isu pengurusan harta si mati, ahli keluarga hendaklah membuat semakan keberhutangan si mati, hak orang lain di atas harta si mati, dan membuat semakan di agensi tertentu serta mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan aset sebenar si mati dan bagaimana dapat menguruskannya dengan cara terbaik.

Ahli waris wajib melunaskan hutang si mati sekiranya ada. Tanggungjawab menyelesaikan urusan di dunia hendaklah diselesaikan ahli waris. Ahli waris sebenarnya masih berperanan bagi kebaikan si mati.

Bukan sekadar menziarahi pusara si mati ketika hari lebaran sahaja tetapi memanjangkan kebaikan mereka dengan meneruskan ilmu ditebar si mati yang bermanfaat, sedekah jariahnya dan yang lebih penting doa anak-anak yang soleh hendaklah berterusan kerana ia dapat membantu si mati di alam baqa'.

Jagalah hubungan kita dengan saudara-mara semasa mereka masih hidup, malah sesudah mereka meninggal dunia pun teruskanlah ‘hubungan’ tersebut dengan perkara yang bermanfaat kepada si mati itu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!