Bersaralah Muhyiddin demi rakyat

A
A
A

KEPUTUSAN agensi penarafan, Fitch Ratings menurunkan status Kemungkiran Penerbit Mata Wang Asing Jangka Panjang (IDR) Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’ agak membimbangkan.

Kali terakhir Malaysia mendapat penarafan rendah seperti itu adalah pada tahun 2004. Lebih merisaukan, antara faktor penurunan itu adalah masalah Covid-19 dan ketidakstabilan politik negara.

Krisis politik di Perak pada Jumaat lalu adalah bukti politik Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil. Kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan boleh berubah pada bila-bila masa sekiranya ada 10 hingga 12 orang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berubah hati atas sebab tertentu.

Tindakan Barisan Nasional (BN) mengemukakan usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan kerapuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kekalahan usul undi percaya kepada Ahmad Faizal dengan majoriti ADUN BN menentang usul tersebut bukanlah sekadar cerminan konflik politik negeri. Hal yang lebih besar menunjukkan kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan PN dalam menguruskan politik dengan berhemat serta cermat.

Usul itu tidak perlu berlaku jika pasukan Muhyiddin memahami realiti politik Perak dan meminta Ahmad Faizal melepaskan jawatan tersebut kepada BN. Kekalahan Ahmad Faizal itu menjadi satu tamparan kepada kepada kerjasama politik UMNO, Pas dan Bersatu sendiri.

Selain politik antara parti, Muhyiddin juga sedang berhadapan kemelesetan populariti dalam kalangan rakyat. Kerajaan gagal menguruskan harapan rakyat mengenai isu pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja dan moratarium seperti yang dituntut BN.

Kita tahu kerajaan tidak mungkin dapat memenuhi semua harapan rakyat, namun kerajaan harus menguruskan harapan itu sebaik mungkin supaya tidak menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Kelemahan-kelemahan itu sedang dieskploitasi untuk menjatuhkan kerajaan dan menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Krisis politik negara tidak akan berakhir dengan mudah, malah mungkin menyaksikan kemunculan ikatan politik baharu dan Perdana Menteri baharu dalam masa beberapa minggu lagi.

Banyak pihak terutama pemimpin Melayu dalam UMNO, Pas dan Bersatu telah berjuang dalam cara masing-masing untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat mencabar status quo hak Bumiputera, kedudukan orang Melayu dan Raja-raja Melayu.

Majoriti orang Melayu, malah majoriti ahli Parlimen Melayu tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Namun sikap tidak endah Muhyiddin untuk menguruskan persepsi dan ikatan politik antara Bersatu dan UMNO telah mengundang ketidakstabilan politik negara.

Naratif Bersatu membuli UMNO sudah merebak tanpa sebarang penjelasan mahu pun usaha untuk mengurangkan kebencian antara UMNO dan Bersatu. Segelintir ahli UMNO sudah berkira-kira biar Anwar jadi Perdana Menteri jika itu boleh ‘membunuh’ Bersatu.

Muhyiddin dikatakan tidak peduli apa yang terjadi kerana beliau berasakan di landasan kebenaran. Sikap Muhyiddin yang kononnya elegant silence itu merosakkan politik orang Melayu. Perpecahan dalam blok kerajaan sudah sukar diperbaiki lagi dan akan berakhir dengan kejatuhan jika tidak diuruskan dengan bijaksana.

Salah satu cara untuk menyelamatkan kerajaan adalah dengan cara Muhyiddin berbincang dengan Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), blok Tun Dr Mahathir Mohamad dan Warisan untuk menamakan seorang ahli Parlimen daripada UMNO sebagai Perdana Menteri baharu.

Pemilihan ahli Parlimen daripada UMNO dengan syarat tiada rombakan Kabinet sedia ada boleh mengukuhkan semula kerajaan kerana tiada lagi alasan ‘UMNO dibuli walaupun mempunyai banyak kerusi’ bagi menjustifikasi sokongan kepada Anwar.

Pelantikan seperti itu akan mewujudkan jambatan penyatuan semula UMNO dan Bersatu pada masa hadapan. Orang Melayu tidak boleh mempunyai terlalu banyak parti kerana akan melemahkan struktur politik negara.

Bersaralah Muhyiddin dengan cara dikenang sebagai pemimpin yang berkorban demi Islam dan Melayu.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)