Banjir di tiga daerah Terengganu pulih

Che Adam A Rahman
Che Adam A Rahman
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Banjir di tiga daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus pulih sepenuhnya apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tiga kawasan itu ditutup hari ini.

Sehingga jam 6 petang tadi, lima daerah masih terjejas banjir dengan 385 mangsa daripada 93 keluarga berada di 10 PPS menyaksikan penurunan ketara berbanding 1,621 orang pada jam 8 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Besut merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 216 orang.

Menurutnya, semua mangsa membabitkan 56 keluarga itu ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Balairaya Kampung Seberang Kastam, masjid Kampung Tempinis dan Balairaya Padang Chili.

“Di Setiu, seramai 61 mangsa pula masih berada di dua PPS diikuti Dungun (53 orang), Marang (35 orang) dan Kuala Terengganu (20 orang).

“Cuaca baik hari ini menyebabkan ramai penduduk terjejas pulang ke rumah masing-masing dan kita jangka lebih banyak pusat pemindahan ditutup sekiranya cuaca baik tanpa hujan berterusan,” katanya.

Sementara itu, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan hanya satu sungai yang masih merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu.

Selain itu, paras sungai utama lain mula kembali kepada normal.

Artikel Berkaitan:

Terengganu dilanda banjir gelombang ketiga pada malam Rabu lalu, tidak sampai tempoh 24 jam selepas banjir gelombang kedua ditamatkan.

Bencana itu melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Kemaman sebelum hujan lebat berterusan menyebabkan banjir merebak ke Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.