X

Kindly register in order to view this article
!

Cara betul DUN Perak

A
A

PENYINGKIRAN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat lalu adalah cara yang betul menentukan kedudukan seorang ketua kerajaan.

Apa yang mungkin pelik bagi sesetengah orang adalah hakikat bahawa Ahmad Faizal hilang kepercayaan dalam pengundian usul percaya terhadapnya. Peristiwa itu menjadi lebih penting kerana Ahmad Faizal baru sahaja dipilih sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu orang kedua terpenting dalam parti tersebut selepas Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan Perdana Menteri.

Walaupun penyingkiran beliau dilakukan dengan betul mengikut amalan demokrasi, namun latar belakang kepada peristiwa itu adalah sebaliknya.

Penyingkiran Ahmad Faizal adalah sebahagian daripada kesan negatif langkah tidak demokratik rampasan kuasa oleh Perikatan Nasional (PN) terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Langkah pintu belakang itu atau tebuk atap mengikut takrifan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengangkat Muhyiddin menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Faizal dilantik sebagai MB apabila kerajaan PH ditubuhkan di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Apabila PN merampas kuasa dan Ahmad Faizal menyertainya, beliau kekal sebagai MB. Dengan penyingkiran Ahmad Faizal dan kemungkinan jawatan itu tidak lagi diberikan kepada Bersatu, maka tidak ada lagilah kerajaan negeri diketuai Bersatu.

Maksudnya, kerugian bagi Bersatu sejak keluar PH walaupun telah dijanjikan oleh Muhyiddin dan penyokongnya bahawa parti itu akan menjadi lebih kuat tanpa dibebani DAP.

Berbalik kepada Ahmad Faizal, ketidakpuasan terhadap beliau wujud sejak zaman PH lagi tetapi beliau selamat kerana parti-parti PH menunjuk hormat kepada Dr Mahathir sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PH.

Apabila kerajaan PN ditubuhkan di Perak dan UMNO menjadi parti anggota terbesar, kedudukan Ahmad Faizal dan Bersatu menjadi semakin terancam kerana seperti semua orang tahu, UMNO mahu jawatan nombor satu itu.

Apa yang terjadi di Perak adalah cerminan kepada keadaan yang sedang berlaku kepada Kerajaan PN di peringkat Pusat, malah mungkin lebih kritikal.

Jika Ahmad Faizal tumbang akibat usul percaya terhadap beliau, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tentulah jauh lebih goncang kerana selain usul percaya, beliau juga berdepan dengan usul tidak percaya.

Dengan penyingkiran Ahmad Faizal di Perak, kedudukan dan prestij Muhyiddin semakin parah. Apa pun alasan yang diberi bagi menghalalkan rampasan kuasa PN, hakikatnya ia telah dan sedang membawa padah kepada negara dalam banyak bidang.

Yang terbaharu, penurunan penarafan hutang luar negara Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’ oleh Fitch Ratings - hutang negara dalam mata wang asing akan menjadi lebih mahal. Nasib baiklah hutang luar negara kita tidak banyak.

Sebab itulah, amat penting bagi Parlimen memutuskan sekali gus melalui pengundian di Dewan Rakyat, sama ada kedudukan Perdana Menteri sahih atau tidak dan sama ada beliau mempunyai sokongan majoriti atau tidak.

Jika bukan kerana Covid-19, jalan terbaik menyelesaikan kekusutan politik sekarang adalah dengan meminta mandat baharu daripada pengundi melalui PRU. Apa yang berlaku sekarang patut menjadi pengajaran kepada kita bahawa sistem demokrasi adalah cara terbaik menyelesaikan pertikaian dan bukan rampasan kuasa yang diatur di hotel.

Wallahuaklam.

* Datuk A. Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!