Pemuda Amanah desak polis, SPRM siasat dana RM90 juta

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Amanah mendesak supaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan Pas menerima dana sebanyak RM90 juta daripada Umno.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, pihak berkuasa perlu memulakan siasatan kerana kes yang melibatkan penyelewengan dana 1MDB itu mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan pengubahan wang haram.

"Penarikan saman oleh Pas menunjukkan dakwaan penerimaan dana RM90 juta ini benar. Oleh kerana isu ini melibatkan penyelewengan dana 1MDB yang mempunyai unsur-unsur kesalahan jenayah termasuk kesalahan pengubahan wang haram.

ARTIKEL BERKAITAN: Dana RM90j: 'Dok tak dok hujan turun', sindir Kadir

ARTIKEL BERKAITAN: Najib akui tak pernah bayar RM90j kepada Abdul Hadi

"Pas dan pemimpin yang menerima dana ini juga harus disiasat oleh pihak polis dan SPRM di mana akaun mereka juga boleh dibekukan selaras dengan peruntukan seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Pada 3 Februari lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah berhubung kes saman beliau terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan bertarikh 1 Februari 2019 di Mahkamah Tinggi London (High Court of Justice, Queen’s Bench Division).

Artikel Berkaitan:

Ketetapan itu dilakukan setelah Abdul Hadi meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan daripada semua aspek dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak pernah membayar wang sebanyak RM90 juta kepada Abdul Hadi mahupun parti tersebut.

Dalam pada itu, Faiz berkata, tiada sesiapa yang boleh terlepas dalam siasatan skandal mega 1MDB kerana penyelewengan dana tersebut adalah begitu besar dan menjijikkan.

"Keluhuran undang-undang perlu ditegakkan dengan satu siasatan adil, menyeluruh dan segera perlu dijalankan segera supaya kehilangan berbilion ringgit wang rakyat akibat skandal mega 1MDB ini dapat diperolehi semula.

"Oleh itu, pihak PDRM dan SPRM wajar menyiasat kes ini dengan segera dan mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya.