Lima jam pindah gajah liar

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Jerek, Batu Melintang hari ini. - Foto Bernama
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya memindahkan seekor gajah jantan liar di Kampung Jerek, Batu Melintang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JELI - Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengambil masa lima jam memindahkan seekor gajah liar yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Jerek, Batu Melintang di sini semalam.

Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah liar jantan seberat dua tan itu berjaya ditangkap anggotanya di kawasan belukar di kampung berkenaan selepas menerima aduan pada 1 Disember lalu.

“Operasi tangkapan gajah itu membabitkan tujuh kakitangan Perhilitan Kelantan dengan menggunakan tembakan pelali, tangkapan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk kampung terbabit dan penduduk di kampung berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Ady Ermanty berkata, gajah yang ditangkap itu merupakan gajah daripada kumpulan Gunung Basor, Jeli dengan anggaran populasi lebih daripada 30 ekor.

"Nilai kerugian harta benda dan tanaman yang dianggarkan di kawasan kampung itu berjumlah RM99,550," katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan gajah liar berumur 15 tahun itu bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari yang diketuai oleh Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang Mohammad Khairul Adha Mat Amin. - Bernama

Artikel Berkaitan: