X

Kindly register in order to view this article
!

Empat lagi kluster baharu dikesan

DR NOOR HISHAM
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan dua kawasan di Sabah dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pertama iaitu Kluster Batu Tiga melibatkan daerah Tawau di Sabah dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 17 November hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 28 individu telah disaring dan kesemuanya telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster kedua pula ialah Kluster Jalan Domis melibatkan daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod di Sabah dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 29 November lalu hasil saringan kontak rapat.

Beliau berkata, daripada 132 individu yang disaring, 12 telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut setakat hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster ketiga pula, Kluster Andalas melibatkan daerah Klang di Selangor dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 3 Disember hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 43 individu telah disaring, 16 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Bagi kluster keempat ialah Tapak Bina Bulatan melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 5 Disember hasil saringan sebelum ke luar negara.

Sebanyak 163 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster tersebut daripada 319 individu yang disaring. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!