Tidak wajar beri komitmen pada industri vape: KKM

Hasrat kerajaan untuk menjana pendapatan hasil daripada pencukaian rokok elektronik (vape) dibimbangi tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan. Foto 123RF
Hasrat kerajaan untuk menjana pendapatan hasil daripada pencukaian rokok elektronik (vape) dibimbangi tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan untuk menjana pendapatan hasil daripada pencukaian rokok elektronik (vape) dibimbangi tidak memberi pulangan seperti yang diharapkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, ini kerana kerajaan mungkin terpaksa menanggung bebanan penambahan kos operasi penguatkuasaan dan rawatan penyakit disebabkan vape.

Justeru, KKM mahu pemantauan dan penguatkuasaan ketat dilakukan ke atas industri vape.

"Ini adalah kerana pembuatan cecair rokok elektronik atau vape sukar dikawal dan paras penggunaan setiap bahan kimia yang terkandung di dalam cecair ini juga perlu dipantau dan tindakan penguatkuasaan ketat.

"Kerajaan akan memerlukan kos tambahan untuk aktiviti-aktiviti penguatkuasaan, malah akan terpaksa menanggung kos rawatan akibat komplikasi penyakit yang dikaitkan dengan vape.

"Hal ini juga boleh menyumbang kepada lambakan cecair rokok elektronik dan vape di pasaran gelap," kata kenyataan KKM.

Kenyataan KKM itu terkandung dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan di Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang meminta Menteri Kesihatan supaya menyatakan komitmen dalam membantu industri ‘vape’ yang bernilai lebih RM500 juta setahun.

Industri vape juga dinyatakan telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 50,000 orang warga tempatan serta mampu menjana pendapatan negara melalui cukai yang akan dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, KKM berkata, pernyataan berkaitan cukai dan peluang pekerjaan perlu diperhalusi semula.

"KKM bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia terjamin. Tanggungjawab ini meliputi pembangunan polisi berkaitan produk yang boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.

"Vape adalah dikategorikan sebagai 'produk berbahaya' kerana penggunaannya mengundang risiko bahaya kepada kesihatan manusia," katanya.

Jelas KKM lagi, bukti saintifik terkini telah menunjukkan kesan penggunaan rokok elektronik kepada kesihatan antaranya kerosakan pada sel badan manusia dan komplikasi penyakit.

"Pakar kesihatan di Malaysia juga telah mengesan dua kes EVALI dalam kalangan dua remaja di Labuan dan Sarawak di mana mereka ini memerlukan rawatan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selain mengalami kecacatan kekal dan terpaksa menggunakan bantuan oksigen.

"Atas faktor-faktor yang dinyatakan, maka adalah 'tidak wajar' untuk KKM memberikan komitmen kepada industri ini. Sebaliknya sebagai Kementerian yang bertanggungjawab keatas kesihatan rakyat Malaysia, KKM ingin mencadangkan agar kerajaan terus komited untuk mengawal ketat industri ini," katanya.

Kerajaan menerusi Belanjawan 2021 mencadangkan untuk mengenakan 10 peratus cukai 'ad valorem' (mengikut nilai) ke atas semua alat merokok elektronik dan bukan elektronik serta duti eksais 40 sen untuk setiap mililiter cecair rokok elektronik (dengan dan tanpa nikotin) akan mula dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.