Polis cari Mohd Fahmi kes tipu orang asli

No Image Caption
A
A
A

KLUANG - Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan kes penipuan berhubung tawaran program pendaftaran lesen memandu motosikal berkelompok di Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, usaha mengesan Mohd Fahmi Julani dilakukan selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima 15 laporan daripada mangsa antara 21 dan 23 Oktober lepas.

“Berdasarkan laporan, mangsa didapati telah ditawarkan satu program pendaftaran lesen memandu motosikal berkelompok pada harga RM350 oleh Mohd Fahmi.

“Kebanyakan mangsa ada yang sudah membayar wang secara tunai sebanyak RM350 itu dan ada juga yang baharu membayar RM50 dengan kesemua jumlah kerugian tersebut melibatkan RM5,750,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan di sebuah pusat memandu dalam daerah itu mendapati nama mangsa tidak didaftarkan untuk program tersebut.

Sehubungan itu, tindakan mengesan Mohd Fahmi kini dijalankan dengan direkodkan sebagai orang dikehendaki polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Mohd Fahmi boleh menghubungi Hotline IPD Kluang di talian 07-7766 822. - Bernama

Artikel Berkaitan: