'Banjir kali ini unik, sukar dijangka'

Mangsa banjir, Rozaiman Ibrahim, 34, (kanan) bersama isterinya Nor Ellham Mohamed, 31 (kiri), dan anak mereka, Aira Qhhaisara, 1, tengah) duduk di hadapan rumah ibu mereka yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Banggol. - Foto Bernama
Mangsa banjir, Rozaiman Ibrahim, 34, (kanan) bersama isterinya Nor Ellham Mohamed, 31 (kiri), dan anak mereka, Aira Qhhaisara, 1, tengah) duduk di hadapan rumah ibu mereka yang dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Banggol. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir 2020 kali ini agak unik dan sukar dijangka berikutan cuaca hujan lebih tertumpu di kawasan pesisir pantai berbanding kawasan hulu pedalaman seperti lazimnya.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, julat taburan hujan terlalu tinggi menyebabkan aliran air tidak boleh turun ke laut kerana bertembung dengan fenomena air pasang hingga mengakibatkan beberapa kawasan rendah di pesisir pantai ditenggelami air.

"Biasanya, kawasan pedalaman yang akan terjejas banjir dahulu, namun di Hulu Terengganu dan Hulu Besut, tidak berlaku pemindahan mangsa banjir pada gelombang pertama dan kedua.

"Hanya pada gelombang ketiga sahaja terdapat PPS dibuka, namun jumlahnya sangat sedikit kerana taburan hujan di hulu pedalaman tidak sebanyak di kawasan pesisir pantai baru-baru ini," katanya kepada Bernama ketika membuat pemantauan di Pantai Batu Buruk di sini hari ini.

Banjir kali ini menyebabkan beberapa kawasan yang jarang mengalami masalah itu termasuk kawasan bandar Kuala Terengganu juga ditenggelami air lewat malam Rabu lepas.

Che Adam berkata, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Terengganu akan menerima empat hingga enam episod hujan lebat hingga Januari depan, dengan tiga episod telah berlaku.

Zulkifli Ishak, 53, (tengah) bersama rakan-rakan Mohd Zaki Sata, 31, (kiri) dan Wan Mohd Shahiran Wan Zalani, 27, (kanan) meredah air untuk pergi ke pukat ikan yang dipasang di kawasan paya ketika tinjauan di Kampung Permaisuri. - Foto Bernama
Zulkifli Ishak, 53, (tengah) bersama rakan-rakan Mohd Zaki Sata, 31, (kiri) dan Wan Mohd Shahiran Wan Zalani, 27, (kanan) meredah air untuk pergi ke pukat ikan yang dipasang di kawasan paya ketika tinjauan di Kampung Permaisuri. - Foto Bernama

Justeru, Che Adam berkata, kesiapsiagaan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah dipertingkatkan daripada aspek operasi dan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, Terengganu menghadapi gelombang ketiga banjir bermula Khamis lepas dengan 532 mangsa berada di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan enam daerah sehingga jam 3 petang ini.

Berhubung tahap pematuhan orang ramai terhadap SOP, Che Adam berkata, langkah pencegahan yang dilakukan sebelum ini berjaya meningkatkan kesedaran mereka untuk tidak lagi melakukan rutin tahunan termasuk mandi air banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh.

"Mangsa banjir juga sudah maklum dengan jarak fizikal, pemakaian pelitup muka, tidak boleh solat berjemaah dan gotong-royong memasak di PPS seperti mana amalan biasa sebelum ini.

"Keseluruhannya, tahap pengurusan banjir kali ini lebih baik hasil kerjasama semua pihak walaupun berdepan cabaran berganda iaitu banjir dan Covid-19," katanya. - Bernama