X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB di Sabah dilanjut sehingga 20 Disember

Ismail Sabri pada sidang akhbar mengenai perkembangan PKPP dan PKPB di Kementerian Pertahanan (MinDef), Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah dilanjutkan selama 14 hari bermula dari 7 Disember hingga 20 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu berdasarkan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati masih terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa daerah di negeri itu.

“Secara kumulatif sehingga 3 Disember, sebanyak 29,577 kes positif Covid-19 telah direkodkan di seluruh Sabah,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di K-Avenue, Megacity, Penampang di Sabah yang bermula 22 November lepas turut ditamatkan pada hari ini seperti yang dijadualkan, namun lokaliti itu masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah.

Katanya, KKM telah melaksanakan 393 ujian saringan dan 144 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan di lokaliti berkenaan, bagaimanapun hanya tinggal 17 kes aktif direkodkan sehingga 3 Disember lepas.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPB di Labuan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan dan kembali kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Secara kumulatif sehingga 3 Disember, beliau berkata, 1,365 kes positif Covid-19 telah direkodkan di seluruh Labuan, bagaimana pun daripada jumlah itu, sebanyak 1,282 kes telah sembuh sepenuhnya dan hanya 76 kes aktif sedang mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, walaupun Sabah menjalani PKPB, terdapat beberapa SOP yang dilonggarkan antaranya kemasukan individu ke negeri itu dibenarkan untuk tujuan sosial (Pas Lawatan Sosial) bagi kemasukan domestik kepada pemegang MyKad, MyPR (pemastautin tetap), MyKAS (pemastautin sementara); pemegang pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) yang sah tempoh dan pasangan suami atau isteri kepada rakyat Sabah serta tanggungan.

Selain itu, kemasukan bagi bukan warganegara yang tidak memiliki pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri itu.

“Semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani ujian swab pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan dan hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif dibenarkan masuk ke Sabah,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar Sabah tidak memerlukan kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia, selain perkhidmatan bas ekspres, bas pelancongan dan keretapi melibatkan rentas daerah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus, serta pematuhan penjarakkan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Aktiviti pelancongan turut dibenarkan dengan kapasiti terhad serta pematuhan SOP Gelembung Perjalanan Domestik dan SOP berkaitan Sektor Pelancongan Domestik yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Bagaimanapun, pergerakan kapal antaranya meliputi semua kapal 'Non-Convention Ships' (NCS) Indonesia dan Filipina yang memasuki perairan Zon Selamat Timur Sabah (EssZone); kapal NCS Malaysia dari perairan EssZone ke Filipina dan Indonesia ; kapal pengangkutan ikan Indonesia ke Tawau dan kapal NCS dari Filipina yang melalui perairan Sabah ke Labuan adalah tidak dibenarkan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!