X

Kindly register in order to view this article
!

Menggigil disergah polis ketika edar 2kg syabu

Dadah jenis syabu yang dirampas daripada tiga individu dalam satu serbuan di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok, Kuala Penyu pada Isnin lalu.
A
A

BEAUFORT - Tiga individu termasuk seorang wanita berdepan hukuman gantung selepas didapati mengedar dadah jenis syabu sebanyak 2.065 kilogram (kg) di tepi pantai Kampung Mempakul, Menumbok, Kuala Penyu Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia 45 dan 57 tahun bersama seorang wanita berusia 22 tahun menggigil selepas disergah polis ketika mengedar dadah yang bernilai RM90,000 di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, tangkapan dibuat ketika sepasukan polis melakukan serbuan selepas disyaki berlaku transaksi pengedaran dadah di kawasan itu.

"Satu kenderaan jenis Toyota Hilux berhenti di kawasan pemunggahan tepi pantai berkenaan dan seorang lelaki keluar sambil membawa satu bungkusan serta meletakkannya di celah batu.

"Pasukan polis bertindak menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis kepada ketiga-tiga suspek. Kesemua suspek terkejut serta menggigil ketika ditahan.

"Pasukan polis juga bertindak mengambil bungkusan dan membukanya di hadapan suspek sebelum menemui bungkusan plastik teh Cina yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur disyaki dadah methamphetamine kira-kira 2,065 gram," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, barang kes kemudian dirampas dan semua suspek ditahan serta dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Beaufort untuk tindakan lanjut.

"Saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek perempuan negatif dadah.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek utama dalam kes ini memperoleh bekalan syabu dari Kota Kinabalu dan dipercayai akan diedar ke Menumbok bagi tujuan penjualan, manakala transaksi dadah ke Labuan pula hasil risikan bahagian narkotik IPD Labuan," katanya.

Katanya lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39 C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap kedua-dua suspek lelaki yang turut mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

"Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, ketiga-tiga suspek akan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dikenakan 15 kali sebatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!