Menyamar polis curi 'sport rim' BMW

Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat kes samun dan menyamar sebagai polis dalam kejadian di Klang, Khamis lalu.
Polis berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat kes samun dan menyamar sebagai polis dalam kejadian di Klang, Khamis lalu.
A
A
A

KLANG - Taktik dua lelaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun empat rim aloi (sport rim) kereta mewah jenis BMW tidak bertahan lama apabila dicekup dalam tempoh 12 jam di Kampung Delek Kanan di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 50 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, tangkapan suspek tersebut susulan laporan yang diterima pihaknya daripada mangsa seorang lelaki berusia 50 tahun yang kehilangan empat rim aloi kereta BMW miliknya dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi hari sama.

"Kejadian itu disedari mangsa selepas dihubungi rakannya memaklumkan dua lelaki yang mendakwa sebagai anggota polis telah datang kedai mangsa di daerah ini sebelum mengambil barangan rim terbabit.

Kedua-dua suspel mengakui menjual sport rim BMW itu di sebuah kedai besi buruk.
Kedua-dua suspel mengakui menjual sport rim BMW itu di sebuah kedai besi buruk.

"Susulan tertangkapnya suspek, mereka mengakui menjual sport rim BMW tersebut di sebuah kedai besi buruk. Selain itu, barang kes terbabit juga turut ditemui semula," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya suspek telah aktif melakukan samun dan menyamar sebagai polis sejak April lalu.

Katanya, semakan juga mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.