Jangan leka jaga SOP Covid-19

DR MOHD HAYATI
DR MOHD HAYATI
A
A
A

ALOR SETAR - Rakyat Kedah diingatkan supaya tidak leka dalam menjaga prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika penganjuran majlis perkahwinan.

Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ketika ini Kedah hanya bebas daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetapi tidak bebas daripada Covid-19 sepenuhnya lagi.

Katanya, jika SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diabaikan tidak mustahil akan menyumbang kepada peningkatan kes dan kluster baharu di negeri ini.

“Penduduk Kedah sekarang ini saya nampak agak leka, mungkin sebab mereka tengok kes di Kedah menurun.

“Sama juga di kenduri kahwin buat gotong-royong, bersalaman, peluk cium, tak jaga SOP sedangkan Covid-19 masih ada di sekeliling kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, terdapat juga individu yang tidak ambil kisah walaupun mempunyai gejala seperti demam atau batuk.

“Sudah lah bergejala, pelitup muka pun tidak pakai, jadi kita gusar kalau-kalau ia akan menular kepada orang lain, lebih bahaya jika yang tersebar itu adalah Covid-19,” katanya.

Mohd Hayati berkata, setakat ini tiada kluster baharu dikesan di Kedah kecuali kluster Bayam Indah yang masih aktif di Sungai Seluang, Kulim.

Artikel Berkaitan:

“Daripada 24 kes yang dicatatkan semalam daerah Kulim paling tinggi kes yang berpunca daripada Kluster Bayam Indah, manakala kes dari daerah lain yang direkodkan itu adalah daripada saringan bergejala.

“Cuma kes di Kuala Muda itu saya rasa mungkin yang dijangkiti daripada kes di Kulim. Sebab itu saya katakan kita perlu jaga SOP untuk mengekang penularan Covid-19 ini,” katanya.

Sebelum ini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana di beberapa taman perumahan di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah bermula 27 November hingga 10 Disember ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu membabitkan kira-kira 6,000 penduduk di 1,412 rumah yang tinggal di Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.