IKM sasar koperasi sumbang 15 peratus kepada KDNK negara

Dr Raduan ketika ditemubual Sinar Harian baru-baru ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SYUKOR
Dr Raduan ketika ditemubual Sinar Harian baru-baru ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SYUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Institut Koperasi Malaysia (IKM) meletakkan sasaran 15 peratus sumbangan kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara datangnya daripada koperasi bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, pada masa sekarang sumbangan koperasi kepada KDNK negara ialah sekitar tiga peratus sahaja dan ia masih jauh jika dibandingkan dengan negara-negara lain terutama negara- negara Eropah.

"Di Eropah ada negara yang mana koperasi mereka memberikan sumbangan sehingga 60 peratus kepada KDNK negara.

"Koperasi di Malaysia wujud sejak 1922 lagi dan sehingga sekarang terdapat kira-kira 14,000 koperasi yang disertai lebih 6 juta ahli. Bagaimanapun daripada jumlah tersebut, sumbangan kepada KDNK negara pada ketika ini tidak lebih tiga peratus," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemubual baru-baru ini.

Katanya, jika semua pihak mahu menyahut cabaran, perkara pertama perlu dilakukan ialah memastikan setiap koperasi di Malaysia berdaya saing dan berkembang sekali gus mmmpu menjana pendapatan ahlinya.

"Jika kita benar-benar dapat merancakkan sektor koperasi dalam tempoh 10 tahun ini, 15 peratus merupakan satu angka yang baik kepada negara. Saya melihat ini boleh kita lakukan jika kita ada perancangan teliti mengenai bagaimana untuk mengangkat koperasi.

Dr Raduan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SYUKOR
Dr Raduan. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SYUKOR

"Untuk itu, pihak berkaitan seperti kementerian, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan IKM memainkan peranan memastikan koperasi Malaysia berada pada landasan tepat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Raduan berkata, sumbangan tiga peratus kepada KDNK negara menggambarkan bahawa kegiatan ekonomi melalui koperasi di negara ini masih bersaiz mikro dan sederhana.

"Jika di Eropah sumbangannya besar kerana mereka lahirkan koperasi yang mempunyai rantaian besar dalam perniagaan bermula daripada penghasilan sehingga kepada pasarannya.

"Dalam erti kata lain, masih ada jurang kerana keupayaan kita terlalu terhad dan ekonomi yang kita lakukan melalui koperasi sangat terbatas skopnya," katanya.

Ditanya adakah Malaysia mampu setanding dan sedang berada pada landasan tersebut, beliau berkata, analogi koperasi di Malaysia ini sama seperti proses pembangunannya yang sekarang ini dilihat terperangkap dalam kesederhanaan.

"Sejak kemerdekaan ia berlaku dengan rancak di mana daripada pertanian kepada pembuatan dan kepada perkhidmatan. Sekarang ia dilihat seolah-olah negara terperangkap dengan kesederhanaan," katanya.

Beliau turut berharap agar lebih ranai profesional berdaya saing yang bertenaga untuk menjayakan sektor koperasi di Malaysia

"Justeru, cadangan bagi menubuhkan universiti koperasi di negara ini dapat dilaksanakan selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Kita mahu keluarkan graduan terlatih dalam bidang keusahawanan. Kita mahu hasilkan graduan yang mempunyai pengalaman dan bersedia masuk ke sektor ekonomi berteraskan koperasi," katanya.