Ambil tindakan tegas bank degil laksana moratorium: Najib

Najib harap kerajaan ambil tindakan tegas ke atas bank-bank yang masih berdegil benarkan lanjutan tempoh moratorium menerusi Belanjawan 2021. - Foto 123RF
Najib harap kerajaan ambil tindakan tegas ke atas bank-bank yang masih berdegil benarkan lanjutan tempoh moratorium menerusi Belanjawan 2021. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Bank-bank yang enggan membenarkan lanjutan tempoh moratorium secara menyeluruh yang dijanjikan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 perlu dikenakan tindakan tegas.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pada masa sama kerajaan perlu memastikan pihak bank tidak mengambil kesempatan terhadap pihak yang memohon lanjutan berkenaan.

"Harap kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan tegas ke atas bank-bank yang masih berdegil untuk menepati janji Menteri Kewangan,Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Barisan Nasional (BN) dan rakyat semasa penggulungan bajet 2021.

"Kena berhati-hati juga supaya kerajaan tidak beri bank peluang mengambil kesempatan dalam kesempitan untuk mengaut lebih keuntungan dengan menambah tempoh pinjaman bagi peminjam B40 dan M40 yang meminta lanjutan moratorium," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bank masih untung walau beri moratorium: Najib

Beliau berkata demikian susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang melaporkan pegawai tertinggi beberapa syarikat bank tempatan tidak bersetuju dengan gesaan untuk melanjutkan lagi tempoh moratorium menyeluruh bagi menangguhkan bayaran pinjaman.

Laporan yang memetik sumber beberapa bank tempatan itu menyebut lanjutan moratorium secara menyeluruh itu hanya akan menekan pemiutang dan mengganggu sistem perbankan, termasuk sistem kewangan.

Pada penggulungan Belanjawan 2021 minggu lalu, Tengku Zafrul menegaskan moratorium pinjaman bank bukan hanya untuk sebilangan kecil rakyat tetapi tersedia untuk semua rakyat Malaysia yang terkesan sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, golongan B40 dan golongan peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik, manakala golongan M40 pula hanya perlu membuat 'self-declaration' atau pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen dan sebagainya.

"Bagi rakyat yang tidak tergolong dalam segmen-segmen di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing," katanya.