Covid-19: Palauh, gelandangan tak dibiarkan berkeliaran

Antara gelandangan yang dipercayai palauh berkeliaran di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.
Antara gelandangan yang dipercayai palauh berkeliaran di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Golongan palauh dan gelandangan yang berkeliaran di sekitar pusat bandaraya Kota Kinabalu tidak akan dibiarkan berkeliaran sebaliknya akan ditempatkan di Pusat Bina Jati Diri atau pusat tahanan di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) bagi yang tidak mempunyai dokumen.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan lain-lain agensi telah menjalankan operasi bersepadu bagi menangani isu ini.

"Bagi golongan gelandangan yang berstatus warga tempatan, mereka yang berkeliaran dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan ditahan dan ditempatkan sementara di Pusat Bina Jati Diri di bawah JKM.

"Golongan gelandangan dalam kalangan bukan warganegara yang tidak mempunyai dokumen yang sah akan diserahkan kepada Imigresen dan ditempatkan di pusat tahanan di bawah jabatan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung golongan gelandangan termasuk palauh yang berkeliaran di pusat bandar dan dibimbangi sebagai penyebar wabak koronavirus (Covid-19).

Tambah beliau lagi, jika terdapat keperluan, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan ujian saringan kepada golongan berkenaan sepanjang tempoh PKPB ini.

"Bagi menangani masalah ini dalam jangka masa panjang, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat melalui JKM Sabah akan mengambil pendekatan menyeluruh melalui penglibatan pelbagai pihak.

"Selain itu, kerajaan negeri akan memperkukuhkan lagi tindakan bersepadu bagi memastikan pengurusan untuk menangani isu golongan gelandangan akan lebih efisien selaras dengan Akta Orang-Orang Papa (AOP) 1977.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri juga amat mengalu-alukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengatasi isu ini," katanya.