6,238 pekerja asing di Pulau Pinang jalani saringan Covid-19

Jagdeep (kiri) ketika melawat tapak pembinaan Queens Waterfront, Bayan Lepas hari ini.
Jagdeep (kiri) ketika melawat tapak pembinaan Queens Waterfront, Bayan Lepas hari ini.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Seramai 6,238 daripada 135,490 pekerja asing yang berdaftar di pelbagai sektor di Pulau Pinang telah selesai menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga semalam.

Jumlah tersebut membabitkan pekerja asing di asrama pekerja iaitu 3,000 di Batu Maung, 2,900 di Bukit Jambul, 200 di Bukit Minyak serta 138 di tapak pembinaan Queens Waterfront di Bayan Lepas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sehingga kini, keputusan ujian saringan terhadap pekerja yang menjalani ujian menunjukkan negatif.

"Ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing dijalankan sejak 1 Disember lalu oleh pihak majikan masing-masing dan dijalankan secara berperingkat dan kerajaan negeri akan memantau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan ujian saringan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas melawat tapak pembinaan Queens Waterfront di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya belum dimaklumkan tempoh yang akan diambil untuk membolehkan kesemua 135,490 pekerja asing selesai menjalani ujian saringan Covid-19 kerana melibatkan pelbagai sektor.

Jagdeep turut menyatakan kebimbangannya terhadap kapasiti klinik dan hospital sedia ada di negeri ini dalam menampung jumlah keseluruhan pekerja asing yang akan menjalani ujian saringan Covid-19.

"Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, sehingga kini, hanya 35 fasiliti dikenal pasti sebagai klinik dan hospital bagi jalani ujian tersebut.

"Kerajaan negeri juga berharap agar keseluruhan kos saringan bagi pekerja warga asing itu ditanggung sepenuhnya atau diberi bantuan subsidi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.

Artikel Berkaitan:

April lalu, kerajaan Pulau Pinang telah mewajibkan ujian saringan Covid-19 terhadap lebih 15,000 pekerja asing di tapak pembinaan yang mana, ujian kepada mereka diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Disember, majikan perlu melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing di beberapa kilang yang dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, sebagai permulaan, ujian itu tertumpu kepada kawasan berisiko tinggi di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Saringan Covid-19 pekerja asing bermula esok