Hanya tukar MB bukan runtuhkan kerajaan PN, kata Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Kemelut politik yang berlaku di Perak melalui undi percaya yang diputuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam bukan berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebaliknya mengekalkan kerajaan sedia ada.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul undi percaya yang berlaku adalah suara hati ahli-ahli DUN Perak.

“Yang mahu ditukar hanyalah individu yang menjadi Menteri Besar Perak sahaja tetapi kerajaan PN tetap mahu diteruskan,” katanya dalam wawancara santai yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook Amir Hijaz Fans yang dihoskan Datuk Seri Kamal Amir Kamal Hijaz malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengakui pernah beberapa kali bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Menteri Besar Perak sebelum ini.

“Saya sebagai Pengerusi BN tentunya mencari beberapa jalan dan ikatan yang terbaik agar suasana dan kedudukan politik di Perak itu dimantapkan.

“Undi percaya yang telah terhasil ialah 48 yang tidak menyokong, 10 yang menyokong undi percaya dan seorang berkecuali adalah suara hati ahli-ahli DUN Perak.

“Yang berlaku di Perak melalui undi percaya di dalam DUN pada hemat saya diputuskan oleh ahli-ahli DUN bukan berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan PN di Perak, sebaliknya untuk mengekalkan kerajaan yang ada,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa parti itu berpendirian kerajaan PN di Perak mestilah dikekalkan, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok berkata, kenyataan rasmi itu ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu bersama Pas, PN buat keputusan lanjut

Kerajaan PN di Perak perlu kekal

Pas tidak sertai pembentukan kerajaan baharu Perak

Mengulas mengenai agihan kerusi untuk pilihan raya dan persediaan UMNO untuk mendepaninya, Ahmad Zahid berkata, sebagai parti politik, kesiapsiagaan itu harus ada terutamanya dari segi jentera dan dokongan ahli-ahli parti.

“Soal pembahagian kerusi dalam PN dan Muafakat Nasional, kami telah bersetuju jawatankuasa perundingan kerusi ini memuktamadkan dengan segera, namun pegangan UMNO dan BN ialah kerusi-kerusi Parlimen atau DUN yang dimenangi (UMNO/BN) mesti terus dipertahankan dan kami menjadikan itu sebagai keputusan parti.

“Dalam soal ini kita ketepikan sama ada seseorang ahli Parlimen atau ADUN itu telah melompat keluar daripada BN, tetapi kerusi-kerusi itu bukan dimenangi oleh mereka secara individu.

“Mereka menang kerusi itu mewakili UMNO/BN maka kerusi itu jika kosong nanti dan ada penamaan calon, maka kerusi itu menjadi hak kepada BN. Ini cukup jelas dan saya letakkan noktah di situ sebagai keputusan parti yang tegas,” katanya.

Katanya, dalam sistem demokrasi atau sistem berparlimen di Malaysia, tidak ada undang-undang anti lompat.

“Ini adalah cabaran kita. Kemenangan atas BN maka adalah menjadi hak kepada BN yang menjadi calon untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan harapan kepada rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO untuk mendepani masa hadapan.

“Kita mesti bersolidariti, maknanya kita mesti bersatu padu. Solidariti ini cukup penting dan yang kedua kita mesti mesti bekerja dengan penuh bijaksana dan bersemangat.

“Yang ketiga kita mesti beristiqamah yang ertinya kita mesti konsisten di dalam menterjemahkan segala komitmen yang telah kita buat.

“Keempat kita jangan bantu rakyat secara bermusim kerana tidak ada hari yang kita tidak berikan bantuan atau berkhidmat kepada rakyat yang akhirnya rakyat selepas ini buatlah perubahan, kembalilah kepada kami dan Insya-ALLAH kesilapan yang lalu kita perbaiki.

"Insya-ALLAH dengan imej dan semangat baharu serta dengan perubahan yang dilakukan, UMNO akan kembali dominan bersama-sama rakan-rakan dalam BN dan rakan-rakan kongsi kita yang baharu untuk menghadapi PRU15 nanti,” katanya.