Fahami makna, amalkan nilai al-Quran untuk tempuh dugaan

Dr Mohd Daud
Dr Mohd Daud
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat perlu berusaha untuk memahami makna di sebalik ayat al-Quran dan mengamalkan nilainya untuk menghadapi kehidupan yang semakin sukar terutama ketika krisis Covid-19.

Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, jika manusia gagal memahami nilai-nilai daripada al-Quran, mereka akan kembali menjadi masyarakat terdahulu yang tidak mengambil iktibar daripada peristiwa yang menimpa.

“Menariknya dalam kedua-dua ayat tersebut, al-Quran mengandungi empat elemen penting iaitu, kesembuhan daripada penyakit dan masalah, teguran daripada ALLAH SWT, petunjuk yang membezakan antara baik dan buruk dan rahmat serta keberkatan yang diberikan oleh ALLAH SWT," katanya.

Dr Mohd Daud sebagai panelis dalam Wacana Al-Quran Siri 35 bertajuk ‘International Edition: Quranic Solution on Global Crisis’ hari ini.

Wacana yang pertama kali diadakan dalam bahasa Inggeris itu dimulakan dengan bacaan Surah Yunus, ayat 57 dan 58 oleh Qari Ustaz Ahmad Tirmizi Ali.

Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator menyoal Daud tentang cara masyarakat perlu bangkit daripada musibah berlandaskan al-Quran yang sukar difahami maknanya.

“Ketika membaca al-Quran, minda kita perlu menghubungkan bait-bait ayat dan makna ayat itu dengan kehidupan kita

“Pemahaman terhadap ayat-ayat al-Quran ini perlu dilatih kerana mempunyai banyak tahap pengertian dan isinya adalah untuk diri kita sendiri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masih ada sebahagian umat Islam yang masih tidak memahami makna ayat al-Quran sepenuhnya.

“Jadi, kita memerlukan bantuan daripada sarjana dan pakar bidang untuk membantu masyarakat memahami makna di sebalik ayat-ayat al-Quran dan seterusnya mengamalkan nilai-nilainya dalam kehidupan seharian,” katanya.

Ustaz Ahmad Tirmizi
Ustaz Ahmad Tirmizi

Mengulas lanjut, beliau bersyukur kerana ramai menteri dan mentor di peringkat pembuatan polisi yang berpengalaman dan mampu berkomunikasi dengan rakyat menggunakan pemikiran yang betul.

“Al-Quran mengajar kita supaya membaca untuk membetulkan cara pemikiran kita, melatihnya untuk berfikir secara kritis untuk menyelesaikan sesebuah masalah yang mana dalam konteks sekarang, cara untuk menangani pandemik Covid-19.

“Akhirnya, al-Quran menjadi kunci penyelesaian kepada segala masalah yang berlaku dalam kehidupan kita di dunia,” katanya.

Apabila disoal tentang peluang yang ada untuk bekerjasama untuk menentang krisis pandemik yang terjadi secara global ini, beliau berkata, musibah itu ada hikmah di sebalik kesengsaraan yang dihadapi.

“Di sebalik musibah pandemik Covid-19 yang menimpa dunia, manusia dilihat memahami antara satu sama lain, membuang ego dan bersatu demi kerana melawan virus tersebut.

“Di Malaysia kita mempunyai kepakaran yang lebih daripada negara lain dan kita berkongsi dengan negara-negara luar.

“Jadi ini bukan masanya untuk kita berpeluk tubuh, ego dan krisis ini telah mengajar kita supaya kembali kepada al-Quran yang mengajar kita untuk bersatu atas dasar kemanusiaan.

“Walaupun apabila krisis ini sudah tamat, kerjasama yang telah dibina perlu kekal rapat begitu untuk sentiasa saling membantu daripada pelbagai aspek,” katanya.

Bahagian kedua wacana pula disambung dengan bacaan Surah Isra’, ayat 81 hingga 84 yang mana menjelaskan cara menangani sesebuah masalah menggunakan pendekatan baharu.

Moderator menjelaskan makna ayat ke-83 yang menceritakan bagaimana manusia diberikan nikmat tetapi mulai menjauh daripada ALLAH dan mudah terpedaya dengan bisikan syaitan.

Mengulas perkara tersebut, beliau mengakui kadang kala manusia akan rebah bila diberi ujian yang berat kepadanya dan lupa untuk kembali kepada ALLAH SWT.

“Dalam konteks pandemik Covid-19 yang melanda, kita menyaksikan banyak kes bunuh diri di dalam dan luar negara akibat tertekan dengan pandemik ini.

“Pada saya, al-Quran memberikan mesej bahawa kita perlu membantu orang-orang yang tertekan akibat musibah ini dengan memberikan bantuan, baik dalam bentuk kewangan, kaunseling dan sokongan moral supaya mereka tidak menyimpang ke jalan yang dimurkai Allah SWT.

“Saya pasti pihak kerajaan telah membantu sedaya upaya untuk membantu masyarakat dan jika ia masih tidak mencukupi, pihak lain seperti NGO (badan bukan kerajaan) atau badan berkaitan perlu menghulurkan bantuan untuk menyokong satu sama lain,” katanya.