Draf Perlembagaan Muafakat Nasional sudah diedar: Annuar

Annuar melawat warga emas uzur di PPR Kerinchi ketika hadir pada Program MyFood@Wilayah hari ini.
Annuar melawat warga emas uzur di PPR Kerinchi ketika hadir pada Program MyFood@Wilayah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Salinan draf Perlembagaan Muafakat Nasional telah diedarkan kepada pemimpin UMNO dan Pas untuk proses penelitian.

Setiausaha Agung Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, penyediaan Perlembagaan adalah syarat utama yang perlu diselesaikan apabila keputusan kedua-dua parti mahu mendaftarkan Muafakat Nasional.

"Saya telah edarkan salinan draf kepada pemimpin Pas dan UMNO untuk mereka lihat dan sedang menunggu arahan seterusnya jika draf itu mahu dibawa dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dulu atau Pas nak bawa dalam jawatankuasa parti mereka.

"Kita tidak boleh buat secara suka-suka kerana ada implikasinya. Kena fikirkan Muafakat Nasional hendak ditadbir oleh siapa, kita kena putuskan mungkin hendak pakai konsep majlis syura tanpa ada jawatan pengerusi misalnya," katanya mengulas status semasa pendaftaran gabungan itu secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun tidak memberikan maklumat terperinci tarikh draf tersebut diedarkan.

Namun beliau memaklumkan yang Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan telah mempunyai salinan tersebut.

"Mereka mungkin hendak beri maklum balas pada mesyuarat akan datang, keputusan tidak boleh dibuat sebelah pihak sahaja, tetapi perlu persetujuan bersama.

"Saya boleh sahkan draf dah siapkan, jadi tunggu arahan seterusnya. Tunggu mesyuarat akan datang untuk bincang lebih lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Annuar hadir pada Program MyFood@Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Program di bawah Inisiatif Wilayah Cakna itu menyalurkan bantuan bekalan makanan terdiri barang keperluan harian asas bernilai RM50 kepada 32,000 penerima miskin bandar di 67 lokasi PPR dan Perumahan Awam (PA) di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, seramai 706 penerima di PPR Kerinchi menerima bantuan MYFood@Wilayah hari ini.