Bentuk kerajaan minoriti sementara di Perak: Pakar Perlembagaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Terdapat beberapa kaedah yang boleh diguna pakai untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di Perak, kata pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof.

Menurut beliau, menteri besar sedia ada boleh dibenar terus mentadbir, biarpun dengan sokongan tidak mencukupi jika tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendapat kepercayaan majoriti.

Katanya, kaedah itu boleh dibuat sebagai usaha mengelak diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika pandemik Covid-19.

“Situasi ini dianggap sebagai 'minority government' atau kerajaan minoriti. Kerajaan dibentuk ini bersifat sementara melainkan jika beliau berjaya mengumpulkan semula sokongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, parti kerajaan juga boleh mengadakan rundingan baharu dan kembali bergabung bagi memberikan sokongan kepada menteri besar baharu yang memiliki sokongan majoriti.

“Jika tiada siapa yang layak mendapat sokongan majoriti sehingga memberi kesan kepada kelancaran kerajaan termasuklah untuk meluluskan belanjawan, maka DUN terpaksa dibubarkan dan PRN terpaksa diadakan," katanya.

Tambah Muhammad Fathi, bagi mengelakkan PRN waktu pandemik ini, kerajaan Persekutuan melalui Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat di Perak dan melantik mana-mana tokoh untuk memimpin negeri itu dalam tempoh berkenaan.

“Dalam situasi ini, parti-parti yang mempunyai anggota dalam DUN perlu cepat bertindak.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana pihak yang mampu mencukupkan jumlah sokongan melebihi majoriti, maka layak untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Mereka perlu tentukan tokoh yang ingin dijadikan menteri besar, dan tokoh itu mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 30 orang ADUN daripada jumlah keseluruhan 59 kerusi," katanya.

Menurutnya lagi, parti pembangkang berpeluang menubuhkan kerajaan baharu jika mereka berjaya mendapatkan sokongan tambahan daripada ADUN Bebas atau kerajaan memandangkan perbezaan kerusi gabungan kerajaan dan pembangkang sedikit.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, usul undi percaya agak ganjil dan tidak sepatutnya dibuat.

“Usul undi percaya bukan sahaja tidak perlu bahkan ia ibarat jerat yang boleh merugikan kerajaan. Ia mungkin berguna sebagai senjata untuk pembangkang yang berhasrat menguji keutuhan kerjasama parti-parti kerajaan.

“Jadi bila ia digunakan oleh parti kerajaan, ia ibarat senjata makan tuan. Pihak kerajaan tidak perlu membuktikan seseorang menteri besar mendapat sokongan sebab bukti sokongan yang diperlukan ketika beliau dilantik oleh Sultan.

“Itu pun dibuat atas pertimbangan Sultan, bukannya melalui usul di dalam DUN,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Perak hilang sokongan majoriti

MB Perak harap krisis tak berlarutan ke Pusat

'Ada pihak pujuk ADUN tolak undi percaya MB Perak'