Hidap kanser tahap 4, bapa tiga anak harap permohonan PPR lulus

Muhamad Asrol Daniel menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan kerana menghidap kanser testis tahap empat dan mengharapkan permohonan mendapatkan PPR diluluskan secepat mungkin.
Muhamad Asrol Daniel menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan kerana menghidap kanser testis tahap empat dan mengharapkan permohonan mendapatkan PPR diluluskan secepat mungkin.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki yang menghidap kanser testis tahap empat berharap permohonan menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) di Taman Perling yang dilakukan sejak 2018 akan diluluskan dalam masa terdekat.

Bekas tukang masak itu yang tidak lagi mampu menyara hidup sejak setahun yang lalu kịni menumpang di rumah kakak sulungnya bersama-sama isteri dan tiga anaknya di Taman Sri Impian di sini.

Pada masa ini, apa yang membimbangkan Muhamad Asrol Daniel Abd Hamid, 21, adalah masa depan tiga anaknya yang sedang membesar dan akan masuk sekolah beberapa tahun lagi ditambah pula mereka masih tidak mempunyai kediaman sendiri.

Menurutnya, selepas tidak mampu bekerja, isterinya Siti Farhana Marsan, 23, mengambil alih tugas untuk mencari nafkah sebagai juruwang di sebuah pasar raya di sini bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Bapa kepada tiga anak berusia satu, dua dan tiga tahun itu mengakui sering terfikir bagaimana nasib keluarganya jika berlaku apa-apa kepadanya dalam masa terdekat.

"Kanser yang saya hadapi kini sudah merebak ke hati dan perut. Sebab itu saya minta isteri kerja dahulu supaya dapat mengambil lesen memandu kereta dan berdikari sebelum jadi apa-apa pada saya. Jika permohonan PPR diluluskan, keluarga saya boleh tinggal di sana.

“Ini boleh melegakan saya, kadang-kadang dalam hati saya ALLAH sahaja yang tahu kerana kita tak dapat nak beri yang terbaik untuk isteri dan anak anak. Mereka masih muda dan perjalanan masih jauh tetapi saya diuji sebegini," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Asrol Daniel kini menumpang di rumah kakaknya di Taman Sri Impian, Kluang.
Muhamad Asrol Daniel kini menumpang di rumah kakaknya di Taman Sri Impian, Kluang.

Begitupun Muhamad Asrol Daniel mengakui dia bersyukur kerana adik-beradiknya prihatin dengan nasib yang menimpa dan membenarkan dia sekeluarga menumpang di kediaman berkenaan tanpa perlu membayar sewa.

Ketika ini dia turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Baitulmal sebanyak RM800 sebulan.

"Saya juga dipelawa seorang pemilik produk yang memberikan keahlian ejen secara percuma bagi membolehkan 40 peratus keuntungan jualan produk diberikan kepada saya.

"Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan ramai orang yang baik hati apabila diuji dengan penyakit ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan bantuan boleh menghubungi talian +601117193474 atau sumbangan terus melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Muhamad Asrol Daniel Abd Hamid 0100641100019126.