Air Sungai Golok melimpah ke pekan Rantau Panjang

Mohamad Naziz menunjukkan air Sungai Golok yang mulai melimpah ke kawasan rumahnya di pekan lama Rantau Panjang.
Mohamad Naziz menunjukkan air Sungai Golok yang mulai melimpah ke kawasan rumahnya di pekan lama Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Kawasan rendah di sekitar pekan Rantau Panjang mula menerima limpahan air Sungai Golok sejak malam tadi meskipun cuaca berada dalam keadaan baik.

Difahamkan air mula masuk ke Kampung Kubang Chenok dan Jalan Sekolah Cina di sini sejak malam tadi.

Menurut infobanjir.water.gov.my, setakat jam 8 pagi tadi bacaan paras air Sungai Golok sudah melepasi paras bahaya iaitu 9.59 meter.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail menasihatkan penduduk supaya segera membuat persiapan awal untuk berpindah.

"Untuk makluman, pihak kami sudah melakukan proses sanitasi di semua pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah mencegah pandemik Covid-19.

"Suka juga saya ingatkan kepada mangsa banjir yang berpindah ke PPS supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga penjarakan fizikal serta sentiasa memakai pelitup muka dalam usaha memutuskan rantaian pandemik itu," katanya.

Menurutnya, kerjasama itu amat diharapkan bagi memastikan semua SOP ketika proses pemindahan berjalan lancar.

Sementara itu, penduduk, Mohamad Naziz Abdul Zaman, 43, berkata, air Sungai Golok mula melimpah masuk ke kawasan itu secara perlahan-lahan pada jam 1 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penduduk mulai bimbang kerana trend air Sungai Golok menunjukkan peningkatan yang agak laju meskipun cuaca berada dalam keadaan baik.

"Kami bimbang jika hujan dalam tempoh beberapa jam tanpa henti, berkemungkinan besar pekan Rantau Panjang akan ditenggelami banjir," katanya.