Jangan guna lesen teroka REE untuk tebang balak

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan kerajaan Kedah agar tidak menggunakan penerokaan Rare Earth Element (REE) atau unsur nadir bumi sebagai alasan untuk menebang balak di kawasan hutan simpan di negeri ini.

Menurut beliau, seperti dinyatakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, lesen teroka telah diberikan kepada sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, ini merupakan proses pertama yang diberikan untuk syarikat berkenaan dibenar memasuki kawasan terlibat dan melakukan penilaian pelaburan yang membabitkan nilai yang tinggi.

“Syarikat itu hanya dibenar ambil sampel tanah untuk dianalisis dan sebagainya. Proses selanjutnya akan menyusul sebelum REE boleh diusaha hasil. Perlu diingat, ini hanya lesen teroka, bukan lesen masuk hutan dan tebang balak, terutama ia melibatkan hutan simpan,” katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Mineral bernilai RM60 bilion diteroka di Kedah

Saifuddin berkata, sekiranya proses cari gali galian itu diteruskan kelak, kerajaan negeri harus memastikan status tanah hutan simpan itu diubah terlebih dahulu dan diwartakan sebagai kawasan yang boleh diusaha hasil.

“Batalkan pewartaan hutan simpan itu terlebih dahulu dan gazetkan ia untuk diusaha hasil, sebelum lakukan proses cari gali atau tebang balak di kawasan berkenaan. Jangan salah guna lesen diberikan.

Kita akur syarikat yang melakukan pelaburan tinggi dibenarkan meneroka dan diberikan lesen membuat penilaian, bersama pakar mereka selain mengenal pasti makmal terlibat untuk analisis bagi memastikan tanah itu mengandungi galian yang dimaksudkan,” katanya.

Beliau turut mempertikai nilai REE yang dikatakan mencecah RM62 bilion di Kedah seperti diumumkan Muhammad Sanusi.

Artikel Berkaitan:

“Unjuran nilai terbabit disifatkan tidak masuk akal. Berdasarkan maklumat Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, REE itu ditemui di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik di kawasan seluas 20,234.3 hektar dengan anggaran sebanyak 250,000 tan, bernilai AS$3 bilion.

Di Hutan Simpan Gunung Bongsu, Kulim pula di kawasan seluas 25,292.85 hektar dengan anggaran 312,500 tan bernilai AS$3.75 bilion,” katanya.

Selebihnya, Hutan Simpan Sintok di Padang Terap (10,855.69 hektar) sebanyak 134,125 tan bernilai AS$1.6 bilion, manakala tanah status pertanian merangkumi 40,468.56 hektar di Baling (500,000 tan) dianggarkan bernilai AS$6 bilion.

Sehubungan itu, Saifuddin tegaskan, secara keseluruhannya, kawasan dikenal pasti mengandungi REE adalah 96,851.4 hektar dengan 1,196,625 tan bernilai AS$14.36 bilion (RM58 bilion).

“Mana datangnya RM62 bilion? Angka RM43 trilion memang tak masuk akal, angka RM62 bilion pula merapu,” katanya.

Saifuddin berkata, pihaknya akan memantau setiap tindakan kerajaan negeri dalam penerokaan REE dan akan berkongsi maklumat berkaitan dengan rakyat Kedah.

“Mana tahu lepas teroka Sik, (mereka) datang teroka kawasan di Kulim pula,” katanya.

Kelmarin, Muhammad Sanusi mengumumkan Kedah telah menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat usaha sama berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka REE yang ditemui di beberapa daerah negeri itu.