Beri hak istimewa kepada rakyat yang ambil vaksin - Pakar

Dr Hanafiah Bashirun
Dr Hanafiah Bashirun
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan memberi inisiatif khas dan hak istimewa kepada rakyat yang mengambil vaksin Covid-19 supaya tidak berlaku penolakan terhadap vaksin itu terutama melibatkan golongan antivaksin di negara ini.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, inisiatif yang boleh diambil kerajaan ialah dengan menyediakan kod QR dalam aplikasi MySejahtera kepada rakyat yang telah menerima vaksin tersebut.

Katanya, rakyat yang telah diberikan vaksin dan mempunyai QR kod masing-masing dicadangkan diberikan pelbagai hak istimewa membabitkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam seperti kapal terbang, tren dan bas.

"Contohnya hanya rakyat yang diberi vaksin sahaja dibenarkan menaiki penerbangan sama ada untuk menunaikan haji, umrah atau untuk melancong," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat Malaysia: PM

Golongan antivaksin tolak vaksin Covid-19

6.4 juta rakyat Malaysia bakal terima vaksin Covid-19: PM

Mengulas lanjut, Dr Hanafiah berkata, kerajaan juga perlu mewajibkan hanya rakyat yang menerima vaksin sahaja dibenarkan untuk bersosial dan pergi ke tempat awam seperti pusat beli-belah, restoran, stadium dan mengunjungi majlis kenduri perkahwinan.

Artikel Berkaitan:

"Kemasukan ke hotel, inap desa dan chalet juga perlu diberi kepada rakyat yang mengambil vaksin sahaja.

"Selain itu, semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga perlu diwajibkan mengambil vaksin kerana faktor kawasan persekitaran," katanya.

Menurutnya, majikan juga perlu memastikan semua pekerja mereka divaksin bagi mengelakkan berlaku jangkitan wabak itu di tempat kerja.

Dr Hanafiah berkata, kod QR yang diberikan kepada setiap rakyat yang divaksin itu perlu diimbas semasa mereka masuk ke premis dan tempat awam sekali gus mengenal pasti mereka yang tidak mendapat vaksin.

Menurut beliau, kesemua cadangan itu boleh dilaksanakan apabila negara memperoleh bekalan vaksin yang cukup untuk semua rakyat.

Katanya, menerusi langkah itu kerajaan dapat mengelakkan berlaku penolakan terhadap vaksin tersebut dan golongan antivaksin tiada pilihan selain terpaksa juga mendapatkan vaksin berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, vaksin Covid-19 akan diberi secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Katanya, Malaysia bakal menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini pada tahun depan.