Lapor aktiviti rasuah atau dihukum

No Image Caption
A
A
A

LAPOR rasuah atau dihukum! Inilah perkara yang perlu diterapkan dalam minda setiap warganegara Malaysia.

Jika sebelum ini peringatan kegagalan melaporkan rasuah itu boleh dianggap sebagai amaran sahaja, namun kini perkara tersebut telah diambil tindakan sewajarnya.

Buktinya, baru-baru ini seramai lima kakitangan Kementerian Kewangan telah dihukum denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku salah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa setelah ditawarkan rasuah.

Mereka menjadi individu pertama yang didakwa gagal melaporkan tawaran kes rasuah mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ketika masih ramai yang bercerita rasuah di sana sini, SPRM terus bertindak mengikut lunas undang-undang bagi membuktikan kita boleh melakukan apa sahaja usaha dalam usaha mencegah rasuah.

Tindakan mencegah rasuah di Malaysia ini jika diamati sebenarnya telah mencakupi semua aspek hinggakan kegagalan melaporkan pun dikira sebagai satu kesalahan jenayah.

Sebab itu, kewujudan Seksyen 25 Akta SPRM ini telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) sebagai salah satu amalan baik menerusi Laporan Hasil Penilaian Kumpulan Semakan Pelaksanaan (IRG) ke atas Pematuhan Terhadap Bab III dan IV Konvensyen PBB Pencegahan Rasuah (UNCAC) pada 2014.

Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperuntukkan undang-undang bagi kesalahan seumpama ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam bahasa mudahnya, bukan sahaja menolak rasuah, malah jangan lupa kita mempunyai satu lagi tanggungjawab iaitu melaporkannya. Jika tidak, kita juga adalah penjenayah sama seperti pemberi dan penerima rasuah.

Namun begitu, sering kita dengar terdapat masyarakat yang takut melaporkan atau menyampaikan maklumat kepada SPRM kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko.

Sebenarnya, di sebalik ketakutan kita itu, lebih banyak mudarat besar yang akan berlaku jika jenayah rasuah terus berlaku.

Umum mengetahui, rasuah yang dianggap sebagai ibu segala jenayah adalah punca berlakunya isu-isu dadah, pelacuran dan sindiket jenayah lain.

Bukan itu sahaja, pilihan kita untuk melaporkan rasuah itulah yang akhirnya membezakan kita antara menjadi hero atau penjenayah.

Banyak kita dengar orang ramai khususnya penjawat awam yang menerima pengiktirafan atau ganjaran kerana melaporkan rasuah.

Jadi kenapa perlu memilih kesengsaraan sedangkan kita punya peluang untuk menikmati kebahagiaan sebenar.

Kebahagiaan yang lebih besar ialah kita membantu negara kekal dalam keadaan aman dan selamat tanpa jenayah seterusnya aspirasi nasional yang digarap menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu ‘Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’ dapat dicapai.

Jadi, yakinlah SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak.

Ingat, rasuah mesti dianggap sebagai suatu perbuatan jijik, memalukan, tidak dapat dimaafkan, berdosa dan mesti ditolak.

* Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia