Pengusaha bas lega, kerajaan beri jaminan bantu

Wan Shairi (depan, tiga dari kanan) bersama ahli Gabungan Pertubuhan Bas Persiaran Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Zuraida dan Alexander Nanta Linggi di Putrajaya hari ini.
Wan Shairi (depan, tiga dari kanan) bersama ahli Gabungan Pertubuhan Bas Persiaran Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Zuraida dan Alexander Nanta Linggi di Putrajaya hari ini.
A
A
A
PUTRAJAYA - Gabungan Pertubuhan Pengusaha Bas Persiaran Malaysia lega selepas kerajaan memberikan jaminan untuk membantu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi oleh pengusaha bas yang mempunyai pinjaman dengan syarikat kredit.

Wakilnya, Wan Shairi Wan Ahmad berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Katanya, beliau dimaklumkan pada pertemuan tersebut bahawa kerajaan sedang dalam proses perbincangan dengan beberapa kementerian yang terlibat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi pengusaha bas persiaran.

“Kami sangat gembira dan berasa lega kerana apa yang kami bangkitkan selama ini telah didengari oleh pihak kerajaan.

“Kami diberitahu akan ada (pindaan) Akta Covid-19 (Akta Langkah Sementara Pengurangan Penyakit Koronavirus) yang insyaALLAH akan diluluskan pada akhir bulan ini.

“Ini lebih praktikal berbanding membuat akta baharu yang akan mengambil masa lebih tiga bulan, walhal ramai ahli kami sendiri sudah hampir muflis dengan lebih 100 buah bas ditarik,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Shairi berkata, dengan pindaan kecil tersebut, syarikat kredit akan memberikan moratorium sehingga akhir tahun depan termasuk bayaran pinjaman sewa beli bas.

Katanya, langkah itu dilihat boleh membantu agensi pelancongan termasuk yang mempunyai bas persiaran untuk mengelak daripada disenarai hitam oleh agensi rekod kredit awam dan membolehkan mereka membuat pinjaman daripada pihak bank tanpa masalah.

Pada masa sama, Wan Shairi turut memaklumkan beliau telah diberitahu pada pertemuan tersebut bahawa kerajaan buat masa ini akan mengarahkan syarikat-syarikat kredit supaya tidak memberikan sebarang tekanan kepada para pengusaha bas yang terjejas Covid-19.
Artikel Berkaitan: