Transformasi Melaka United FC

Safiq antara nama besar yang tidak akan lagi bersama Melaka United FC musim depan. - Foto Facebook Musa
Safiq antara nama besar yang tidak akan lagi bersama Melaka United FC musim depan. - Foto Facebook Musa
A
A
A

PENGENDALI Melaka United FC, Zainal Abidin Hassan memberikan bayangan akan melakukan perubahan besar dalam skuad kendaliannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

“Saya boleh katakan bahawa akan ada perubahan besar dalam pasukan yang akan saya lakukan sebelum liga bermula. Ada pemain yang akan dikekalkan dan ada pemain yang akan digugurkan.

“Namun, apa yang lebih penting adalah pembaharuan yang saya akan buat itu bersesuaian dengan peruntukan yang telah diberikan oleh pihak pengurusan.

“Kita akan cuba mendapatkan pemain yang bagus dan saya mengharapkan setiap pemain yang dikekalkan dapat memberikan yang terbaik bagi memastikan Melaka United dapat mencapai kejayaan musim depan,” katanya pada sidang media di Stadium Hang Jebat, Melaka semalam.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) mengesahkan Zainal Abidin akan terus membimbing skuad Hang Jebat itu musim depan, sekali gus mengakhiri spekulasi tentang masa depannya.

Zainal Abidin yang mula mengemudi Melaka United sejak 2018 turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MUSA yang terus memberikan kepercayaan kepadanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan khususnya Ketua Menteri yang juga Presiden Melaka United yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan pasukan.

“Saya mengambil cabaran ini untuk meneruskan tugas ini kerana saya percaya sesuatu perlu dilakukan dalam usaha memperbaiki pasukan dalam saingan musim depan.

Artikel Berkaitan:

“Janji saya sudah tentu akan buat yang terbaik musim depan dan cuba memastikan keputusan yang diperolehi adalah lebih baik daripada sebelum ini,” jelas bekas penyerang berbisa skuad kebangsaan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Sdn Bhd, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri memberitahu, kontrak Safiq tidak disambung dan pihaknya akan membawa masuk muka baharu yang juga pemain senior bagi menggantikan Safiq.

“Kita telah buat keputusan beberapa hari lepas tidak sambung kontrak beliau. Kita akan bawa seorang pemain baharu yang senior dan ada nama dalam Malaysia ini bagai menggantikan beliau.

“Kemungkinan keputusan akan kita buat minggu depan. Beliau bermain dengan pasukan kebangsaan dan masih menerima panggilan daripada pasukan Harimau Malaya selain bermain di bahagian serangan,” katanya.

Safiq yang telah menjangkau usia 33 tahun dianggap antara permata bola sepak Malaysia yang telah mencapai pelbagai kejayaan - baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa sepanjang kariernya setakat ini.

Selain kejayaannya bersama Harimau Malaya menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, Safiq turut menjadi nakhoda di tengah padang ketika skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Datuk K Rajagobal meraih pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos.