Sinergi politik orang lama dan baharu

A
A
A

DALAM sesebuah organisasi, sinergi antara orang lama dan orang baharu amatlah penting dalam melicinkan kelancaran operasinya.

Pengalaman orang lama dan tenaga orang baharu merupakan sebuah aset yang tidak ternilai.

Kalau keduanya digembleng dengan baik, sesebuah organisasi itu akan terus menikmati kejayaan berterusan dan memanjangkan jangka hayatnya untuk terus bersaing serta kekal relevan untuk satu tempoh yang lama.

Dalam hal ini parti politik juga sebegitu. Sebagai sebuah organisasi yang umum dan terbuka, cabarannya barangkali lebih sukar berbanding organisasi yang khusus seperti sebuah jabatan.

Dengan keanggotaan yang pelbagai, mengurus kepelbagaian ahli sudah tentu memerlukan struktur dan kepimpinan parti yang cekap dan mantap.

Sebab itu, kerjasama erat antara orang lama dan orang baharu dalam kepimpinan menjadi kunci kepada kejayaan ataupun kegagalan kepada sesuatu parti.

Masalahnya, dalam parti politik tiada istilah pencen. Berbanding organisasi bukan politik, selalunya orang lama akan melepaskan jawatannya apabila mereka mencapai usia bersara.

Justeru, ini akan membuka laluan kepada orang baharu untuk mengambil alih dan meneruskan perjalanan organisasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya pula yang berlaku dalam parti politik. Orang lama bukan sahaja tidak mahu pencen, malah terus mempertahankan dan mengukuhkan kedudukan mereka dengan sedaya upaya.

Sudahnya, jawatan dalam parti dijadikan hak milik kumpulan tertentu yang kemudiannya dieksploitasikan untuk mengukuhkan kedudukan.

Kemudian diperkenalkan pula budaya akur dan taat yang melampau menerusi amalan tiada pertandingan atau mengekalkan penyandang atas alasan untuk mengekalkan keharmonian dan kestabilan parti.

Akhirnya, budaya tersebut secara perlahan membunuh semangat demokrasi dalam parti dan menjadikan parti terlalu eksklusif, lantas menjauhkannya daripada dihampiri oleh orang baharu terutamanya tokoh muda yang berbakat.

Dilihat, sistem kepartian yang terlalu eksklusif, berstruktur, feudal dan monopolistik menerusi budaya penaungan yang menebal menyukarkan peralihan kepimpinan dalam sesebuah parti.

Hal ini menjadi lebih teruk sehingga ada sesetengah individu malah membina legasi dan dinastinya sendiri yang akhirnya menjadikan parti semacam harta warisan keluarga.

Akhirnya, ramai orang baharu yang ikhlas, jujur dan berbakat menjauhi politik kepartian sebagai wadah perjuangan mereka.

KepimpinanBenar dalam sesebuah parti, pengalaman berpolitik dibentuk secara perlahan dan mengambil masa yang lama disebabkan proses perkaderan dan hierarki kepartian.

Tetapi proses itu tidak akan berlaku sekiranya orang lama dan berpengalaman tidak membimbing orang baharu menunjukkan kredibiliti dan kebolehan mereka. Sepatutnya, pengalaman orang lama harus bergandingan dengan tenaga dan semangat orang baharu.

Orang lama tetap penting dalam sesebuah parti. Mereka perlu ada bukan sahaja sebagai panduan, malah merekalah yang bertanggungjawab untuk menggilap bakat kepimpinan pelapis seterusnya.

Pengalaman politik mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dipelajari di mana-mana melainkan mereka yang memberikannya.

Dalam masa sama, sumbangan tenaga dan semangat orang baharu pula akan terus menyemarakkan usaha orang lama untuk terus berkerja keras mengukuhkan dan mempertahankan prinsip serta perjuangan parti.

Sebab itu terlalu simplistik kalau mahu menolak terus peranan orang lama dan melabelkan mereka sebagai ‘dinosaur politik’ ataupun ‘kuda tua’ dalam parti.

Dan melampau juga kalau berterusan mahu orang muda terus diberikan peluang tanpa perlu membuktikan sumbangan mereka untuk dinilai oleh orang lama. Semua ini ada satu proses yang panjang dimana akhirnya akan membentuk satu sinergi kepimpinan parti yang mantap, lengkap dan seimbang antara orang baharu dan lama.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)