X

Kindly register in order to view this article
!

Pelan Antirasuah Nasional perlu diteruskan: Abu Kassim

Abu Kassim mengimbas kad perakam waktu keluar pada hari terakhir bertugas sebagai Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. - FOTO: BERNAMA
A
A

PUTRAJAYA - Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dibangunkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) perlu diteruskan kerana ia merupakan harapan, suara hati serta kehendak rakyat, kata Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ditemui pemberita selepas mengetik kad perakam waktu terakhirnya sebagai Ketua Pengarah GIACC pada 5 petang hari ini, Abu Kassim berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meneruskan pelan tersebut.

“Saya harap NACP diteruskan kerana ia suara hati rakyat... jangan kita abaikan harapan rakyat. Saya juga berterima kasih kepada Perdana Menteri dahulu (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang membentuk (NACP) dan yang sekarang (Muhyiddin) meneruskan pelan ini,” katanya yang bersara wajib esok.

Muhyiddin dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada 24 November lepas selepas menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Abu Kassim menzahirkan penghargaan atas usaha dan sumbangan Abu Kassim dalam memerangi rasuah dan memastikan integriti tadbir urus negara berada pada tahap yang tertinggi.

Muhyiddin berkata, NACP 2019-2023 yang dibangunkan GIACC di bawah kepimpinan Abu Kassim dan dilancarkan pada Januari 2010, bertujuan menangani isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara menyeluruh.

Mengenai perancangannya selepas bersara, Abu Kassim berkata, beliau telah menubuhkan satu koperasi untuk membantu golongan miskin bandar.

Sebelum dilantik menerajui GIACC, Abu Kassim merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Oktober 2010 hingga Julai 2016.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 September 1984 sebagai pegawai siasatan, serta pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam badan itu antaranya Pengarah Perancangan dan Koordinasi Dasar di ibu pejabat BPR, Pengarah BPR Perak dan Pulau Pinang serta Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!