81,240 individu pulang ke tanah air

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 81,240 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas dan ditempatkan di 75 hotel serta 17 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 11,682 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 509 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 69,049 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai tangkapan individu ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ismail Sabri berkata, 412 individu ditahan semalam dengan 403 daripadanya dikompaun manakala sembilan direman.

“Antara kesalahan tertinggi dilaporkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (135), aktiviti pusat hiburan (113), tidak memakai pelitup muka (64), tidak menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas daerah atau negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (27) dan lain-lain kesalahan (14),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 51 pendatang asing tanpa izin, 11 tekong serta merampas sebuah bot dan dua kenderaan darat.

Berkaitan pemantauan barang keperluan asas, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 686 premis perniagaan termasuk 488 peruncit, 166 pemborong dan 32 pengilang.

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 842 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati hanya satu premis tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakkan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

Berhubung Ops Sanitasi Awam Covid-19, beliau berkata, sehingga semalam sebanyak 41 operasi sanitasi meliputi 10 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan dua zon hijau melibatkan 10 negeri dan satu Wilayah Persekutuan kecuali Putrajaya, Perak dan Selangor. - Bernama