X

Kindly register in order to view this article
!

Kasihani diri sendiri

A
A

WALAUPUN sekuat mana kita, hakikatnya tetap rapuh dan pada bila-bila masa kita boleh ‘pecah’ dan tersungkur. Pun begitu, tidak ramai yang berasa mereka rapuh kerana begitu terkesima dengan kehidupan di dunia.

Apa tidaknya, hidup semakin senang, apa yang dihajati semuanya boleh serta jauh terkedepan berbanding dengan orang lain. Pendek kata, berasa hidup sudah sempurna dan lengkap.

Alhamdulillah, jika kita bersyukur dengan semua anugerah itu. Namun masih ramai yang berada dalam keadaan berburuk sangka kepada diri sendiri, orang lain dan kepada Penciptanya.

Akhirnya, sudah tidak berupaya mengasihani diri sendiri.

Sebetulnya, mengasihani diri sendiri merujuk kepada keupayaan kita untuk memperbaiki serta menginsafi segala kelemahan yang ada dalam diri.

Namun bukan mudah untuk menempelak diri sendiri kerana masih berasa kuat serta menebalnya sikap suka menyalahkan orang lain.

Ini bermakna, jika kita masih kekal bersedih dan kecewa dengan kehidupan serta masih ‘galak’ dengan kehebatan menguasai mereka yang lemah, kita sebenarnya masih belum mengasihani pada diri sendiri.

Berkaitan hal ini, seorang tokoh alim dan imam mujahid, Abdullah bin Al-Mubarak pernah berkata: “Di antara sebesar-besar musibah bagi seseorang lelaki itu, dia mendapat tahu tentang dirinya ada kekurangan dan kecacatan, kemudian dia tidak endahkan dan tidak pula dia berasa sedih atas kecacatannya itu.” (Syu’abul Iman, Imam Baihaqi, 11/859).

Persoalannya sejauh mana kita boleh dan mahu meneroka kelemahan diri hingga ke lubuk hati?

Jawapannya boleh sekiranya kita benar-benar ikhlas mengakui kelemahan diri, terbuka menerima teguran orang lain serta membesarkan Penciptanya.

Sesungguhnya, perkara utama yang perlu dilakukan untuk mengasihani diri adalah dengan memperbetulkan persepsi bahawa ALLAH yang menentukan takdir kita dan bukannya kita yang meminta ALLAH memenuhi takdir kita.

Jika kita masih percaya bahawa takdir kita perlu sentiasa dipenuhi, sudah tentu kita cukup runsing untuk menanti hari esok.

Apa tidaknya, setiap hari kita sentiasa berharap agar menempa kejayaan terhadap setiap perancangan. Jika gagal, kita mula kecewa dan bersedih. Walhal, kegagalan tersebut adalah kerana takdir ALLAH untuk memberikan apa yang lebih baik kepada kita.

Sejujurnya saya begitu teruja dengan kisah masyarakat petani di China sekitar tahun 1950-an.

Pada ketika itu, sawah mereka telah dimakan oleh ribuan burung pipit menyebabkan ramai petani yang keluar dari rumah serta bergilir-gilir menjaga tanaman mereka sambil mengetuk kuali untuk menghalau burung pipit.

Setelah beberapa minggu, mereka berjaya menghalau burung tersebut dan bergembiralah mereka menyambut kejayaan itu.

Namun setelah beberapa bulan, tanaman mereka telah diserang oleh jutaan belalang.

Sekali lagi mereka kecewa dan mula menyedari bahawa kesan ketiadaan burung pipit menyebabkan belalang cepat membiak kerana tidak dimakan burung berkenaan.

Jika kita mengambil pengajaran daripada kisah tersebut, barulah kita sedar bahawa ALLAH yang menentukan urusan kehidupan di dunia ini dengan kadarnya.

Ingatlah, kita hanya tetamu di atas dunia ini dan ALLAH adalah tuan kepada kepada dunia ini.

Justeru, kita perlu yakin bahawa selagi kita berbaik sangka kepada ALLAH, selagi itulah kita akan dirahmati dan diberkati.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!