Bekas isteri Mejar Mohd Zahir tak mampu upah peguam

Amalurramzan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir di rumahnya Taman Kempadang hari ini.
Amalurramzan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada kedua-dua anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir di rumahnya Taman Kempadang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Bekas isteri kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya mengakui tidak mampu membiayai kos peguam untuk memfailkan permohonan faraid bagi menuntut hak dua anak lelakinya.

Jamilah Ismail, 38, berkata, dia hanya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dan mempunyai pendapatan sekitar RM50 sehari.

Menurutnya, dia terpaksa melupakan hasrat untuk melantik peguam yang memerlukan kos lebih RM10,000

"Saya tahu dua anak saya iaitu Mohamad Remy Iskandar, 9, dan Mohamad Ebel Zulkarnain, 10, boleh menang dalam kes ini tetapi apakan daya saya tidak mampu.

"Kalau ada duit sudah lama saya bawa kes ke mahkamah, saya juga dimaklumkan balu Allahyarham, Nour Shafinar Harun, 31, sudah mendapat wang insurans kelompok sebanyak RM274,000 serta khairat kematian RM6,000," katanya ketika ditemui di kediaman yang di Taman Perumahan Kempadang hari ini.

Sebelum itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) daerah Kuantan hadir menyampaikan bantuan kepada anak Allahyarham Mejar Mohd Zahir.

Hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad menjelaskan bahawa pihak ATM tidak pernah mengabaikan hak waris-waris Allahyarham Mejar Mohd Zahir.

Dzulkarnain berkata, tanggungjawab ATM dan Tentera Darat berhubung pembayaran ganjaran, faedah gantian cuti rehat (FGCR), pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan ex gratia orang tanggungan (EXOT) milik Allahyarham Mohd. Zahir telah diselesaikan bermula Oktober tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bayaran sekali bayar atau 'one off' ganjaran terbitan dan FGCR kepada dua anak bekas isteri pertama telah dilaksanakan pada bulan Oktober 2019 berjumlah RM32,923.28.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia tidak pernah menafikan tanggungan ATM terhadap dua anaknya, sebaliknya membangkitkan isu insurans kelompok milik Allahyarham.

Jelasnya, Nour Shafinar pernah memaklumkan untuk membahagikan pampasan yang diperoleh kepada waris Allahyarham, tetapi sehingga ke hari ini belum berbuat demikian.

"Saya pernah bertanya dengannya (balu) tentang faraid insurans berkenaan tetapi memaklumkan akan berbincang dahulu tentang perkara itu.

"Selepas itu dia terus mendiamkan diri. Jadi, sebab itu saya perlu bersuara kerana dua anak Allahyarham mempunyai hak ke atas pampasan itu," katanya.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada ATM kerana telah menjelaskan bayaran ganjaran terbitan termasuk pencen kepada dua anaknya.

"Saya akan terus bersuara demi memastikan hak dua anak lelaki sebagai anak Allahyarham terbela.

"Ini bukan soal saya dengan ATM tetapi balu arwah, jika anak balu dengan arwah dan dua lagi anak balu bersama lelaki lain mendapat hak mereka, dua anak saya juga patut layak," katanya.

Jamilah berkata, setakat ini, dua anaknya hanya menerima pencen arwah suaminya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 dan bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebanyak RM500 termasuk RM200 dalam bentuk baucar atas namanya sebagai ibu tunggal.

Sementara itu, Pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) daerah, Amalurramzan A Manan menyampaikan sumbangan kepada dua anak lelaki Allahyarham Mejar Mohd Zahir.

Menurutnya, sebanyak tiga jenis bantuan diberikan kepada dua kanak-kanak berkenaan.

"Pertama, Bantuan Skim Persekolahan Menengah Rendah YPM 'one-off' RM300 setiap seorang kepada dua anak Allahyarham yang bersekolah di Sekolah Kebangaaan (SK) Kempadang.

"Kita juga menyampaikan bantuan Mara Prihatin 2020 berupa barang keperluan harian seperti beras, selain itu kita juga akan membuat permohonan Skim Anak Angkat YPM kepada anak arwah," katanya.

Amalurramzan berkata, berhubung Skim Anak Angkat YPM berkenaan, jika diluluskan ia akan bermula tahun depan yang mana permohonan dibuat untuk Mohamad Remy Iskandar.

"Menerusi skim ini, kita akan beri bantuan persekolahan sebanyak RM80 sebulan dan setahun RM960. Kita akan bantu dari sekolah rendah sehingga tamat tingkatan lima," katanya.