X

Kindly register in order to view this article
!

Ini senarai keluhan rakyat KWSP perlu tahu

A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diminta lebih terbuka dalam isu pengeluaran wang akaun satu tanpa syarat yang merumitkan.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Faridzul Azlan, berkata, banyak aduan yang marah dan kecewa terhadap KWSP dalam isu berkenaan.

Justeru menurutnya, Sekretariat Pemantau Isu KWSP Pemuda UMNO menyenaraikan tujuh senario untuk perhatian pihak KWSP yang menjadi kekangan kemungkinan pengeluaran melalui i-Sinar tidak dapat dilakukan pencarum.

"Antara senario aduan diterima ialah pencarum yang hilang pendapatan kurang daripada 30 peratus. Ada juga yang berkata, gaji tidak dipotong tetapi elaun kerja lebih masa dan komisen tidak diperoleh akibat penularan wabak ini. Sedangkan syarat dikenakan mesti melibatkan pengurangan gaji lebih 30 peratus.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum dua kategori ahli layak mohon i-Sinar

Permohonan i-Sinar bermula pertengahan Disember 2020: KWSP

KWSP akan pertimbang setiap permohonan i-Sinar di bawah kategori kedua

Duit KWSP duit rakyat, kata Najib

"Selain itu, turut melibatkan pencarum yang bergaji rendah. Sebagai contoh, ada individu yang membuat aduan bahawa gajinya hanya RM1,200 sebulan dan jika syarat 30 peratus dikenakan ia amat tidak munasabah.

"Aduan juga melibatkan pencarum yang diberhentikan kerja bermula November 2020 serta pencarum yang baru mula bekerja bermula November 2020. Tetapi oleh kerana syarat wajib tiada caruman sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum permohonan, ia menidakkan pengeluaran golongan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Faridzul menambah, tempoh ditetapkan KWSP untuk permohonan dan pengeluaran wang caruman juga terlalu lama bagi golongan yang masih bekerja tetapi terjejas pendapatan.

Katanya, permohonan hanya boleh dilakukan pada 11 Januari 2021 dan jawapan hanya akan diberikan sekurang-kurangnya 3 minggu dari tarikh permohonan sedangkan ada pengadu yang sangat memerlukan dalam waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Pengadu juga memberi cadangan supaya sesiapa sahaja yang memohon i-Lestari layak secara automatik untuk i-Sinar. Terdapat juga pengadu menyatakan keperluan mendapatkan jumlah maksimum pengeluaran secara sekaligus kerana baru memulakan perniagaan dan wang ini dapat membantu golongan ini meneruskan kehidupan.

"Justeru, Pemuda UMNO mahukan KWSP untuk berbesar hati dan membuka ruang seluas-luasnya untuk para pencarum mengeluarkan wang mereka sendiri demi kelangsungan kehidupan kini," katanya.

Katanya, Pemuda UMNO melalui sekretariat tersebut akan menyerahkan aduan-aduan yang diterima kepada pihak KWSP untuk diperhalusi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!