Jakim komited tangani isu status daging import

Jakim
Jakim
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) komited untuk memberi kerjasama kepada semua agensi penguat kuasa berkaitan status halal produk daging yang diimport di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz bin Jusoh menjelaskan, kerajaan menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jakim.

Katanya, daging dan produk daging yang diimport perlu pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim.

"Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Daging import haram dijual secara online

Prosedur kemasukan daging import ketat

Kartel tukar daging haram jadi halal

Awas, aktiviti seludup masuk daging lembu tidak halal

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas pendedahan Maqis berhubung kegiatan penyeludupan masuk daging sejuk beku dari Ukraine, Brazil, Argentina dan China yang diragui status halalnya, dilakukan sindiket dipercayai menggunakan dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import, sijil halal atau pun resit bayaran.

Difahamkan, sindiket tersebut turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit dan akan diletakkan di satu bahagian khas untuk disimpan dalam usaha mereka mengaburi mata pihak berkuasa.

Jakim dalam pada itu turut menghargai agensi yang melaksanakan operasi bersepadu perihal dagangan halal tersebut.

Agensi terbabit ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).