Remaja cari lokan nyaris maut dibaham buaya

 Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan, kaki kanan dan perut akibat digigit buaya dalam kejadian di sungai di Kampung Mengkabong, Tuaran kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tuaran. Gambar kecil: Buaya yang sering dilihat di kawasan sungai Kampung Mengkabong, Tuaran, disyaki menyerang mangsa.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan, kaki kanan dan perut akibat digigit buaya dalam kejadian di sungai di Kampung Mengkabong, Tuaran kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tuaran. Gambar kecil: Buaya yang sering dilihat di kawasan sungai Kampung Mengkabong, Tuaran, disyaki menyerang mangsa.
A
A
A

TUARAN - Seorang remaja lelaki bergelut nyaris maut selepas diserang seekor buaya ketika mencari lokan dan siput di sebuah sungai di Kampung Mengkabong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa Mohammad Azlan Arif Abdullah, 16, sempat diselamatkan oleh tujuh rakannya dengan memukul reptilia sepanjang 1.5 meter itu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung seorang lelaki tempatan digigit buaya di sungai terbabit.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakannya yang sebaya mencari lokan dan siput di tebing sungai berkenaan.

"Ketika mangsa cuba menyeberang air sungai separas pinggangnya, tiba-tiba seekor buaya menggigit mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Lokasi (yang dibulatkan) mangsa digigit buaya di sungai Kampung Mengkabong, Tuaran.
Lokasi (yang dibulatkan) mangsa digigit buaya di sungai Kampung Mengkabong, Tuaran.

Mohd Hamizi berkata, rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu segera membantu dengan memukul bahagian kepada dan badan buaya dengan menggunakan kayu.

"Salah seorang daripadanya memukul bahagian mata dengan menggunakan tangan sehingga buaya itu melepaskan mangsanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hamizi berkata lagi, akibat kejadian itu mangsa yang cedera parah pada anggota badan, kaki kanan dan perut kemudian dirawat di Wad Kecemasan Hospital Tuaran.

"Mangsa akan dirujuk ke Hospital Papar atau Kota Belud untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohd Hamizi berkata, kes dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu turut diminta menyalurkan segera kepada pihak polis melalui talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977.

Mohd Hamizi turut menasihatkan orang ramai terutama penduduk kampung berkenaan supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai terbabit.