Tambah kamera AES boleh kurang kadar kemalangan

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

KAJANG – Penambahan 11 lagi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di sepanjang jajaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dilihat sebagai antara langkah komprehensif dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana antara punca utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh sikap pemandu yang membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan.

“Saya berpendapat bahawa kalau kita dapat memasang kamera, ini antara penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi hari ini, jadi kalau bercakap mengenai pemasangan kamera AES itu sumbangan PLUS, saya anggap bahawa ini amat sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah Miros, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penambahan kamera AES boleh kurang kadar kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN: AES: Rakyat pun nak kata 'i don't care'?

Lam Thye, yang akan menamatkan tugasnya sebagai Pengerusi Miros hari ini berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menyebut bahawa 11 lagi kamera AES akan ditambah di sepanjang lebuhraya PLUS, namun lokasinya masih dalam penelitian.

Sehingga kini, terdapat 45 kamera AES yang telah dipasang di seluruh negara.

Terdahulu, Lam Thye, yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Miros sejak 3 April 2015, menyerahkan nota serah tugas kepada Datuk Suret Singh selaku Pengerusi Miros yang baharu berkuat kuasa esok.

Artikel Berkaitan:

Suret, yang pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Penasihat di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat berkata keselamatan jalan raya terutama penunggang dan pembonceng motosikal kapcai akan menjadi antara keutamaan beliau sepanjang memegang jawatan itu.

Katanya, ia berikutan statistik JKJR menunjukkan kira-kira 60 peratus atau lebih 4,000 kematian setiap tahun dicatatkan melibatkan golongan itu yang kebanyakannya berusia 15 hingga 25 tahun.

“Kita perlu mencari cara kreatif bagaimana untuk kita atasi semua aspek masalah ini, dan bagaimana kita boleh menjadikan motosikal kapcai selamat di atas jalan raya, kita perlu lihat rekabentuk motosikal, ruang jalan dan keberkesanan program penguatkuasaan semasa,” katanya.

Sebelum ini, JKJR dilapor sedang mengkaji cadangan untuk mengehadkan lorong kiri jalan raya khusus untuk pengguna motosikal terutama kapcai sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan maut bagi pengguna kenderaan itu. - Bernama