X

Kindly register in order to view this article
!

Zainal kekal kemudi Melaka United

A
A

PASUKAN Melaka United FC mengambil keputusan untuk mengekalkan khidmat ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan mengemudi pasukan itu untuk saingan Liga Super musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan tersebut dicapai hasil penilaian dan perbincangan dalam Mesyuarat Khas Eksekutif MUSA,baru-baru ini.

"Pemilihan pemain Melaka United FC musim 2021 termasuk pemain import akan diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Jurulatih untuk menilai setiap pemain dan membentuk pasukan terbaik bagi menghadapi Liga Malaysia 2021 mengikut bajet yang telah ditetapkan.

"Saya harap Zainal akan mengambil tanggungjawab ini dan ia sebagai cabaran untuknya mengembalikan semula Melaka United ke kedudukan lebih baik musim depan," katanya dalam sidang media, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut mengakui pengurusan tidak meletakkan sasaran tinggi untuk saingan liga musim depan.

"Melaka United FC telahpun menetapkan peruntukan kewangan yang relevan bagi mempersiapkan pasukan bagi memberi saingan dalam Liga Malaysia 2021.

"Bagi saingan Liga Super 2021, sasaran yang ditetapkan adalah menamatkan tempat keempat hingga keenam liga berdasarkan kemampuan prestasi dan kewangan yang ditetapkan.

"Bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia pula sasaran yang diletakkan adalah mara sejauh mungkin, jika salah satu pertandingan ini Melaka United FC mampu mara ke perlawanan akhir, ia adalah pencapaian terbaik buat ketua jurulatih," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC bagi mengetuai organisasi pentadbiran kelab.

"Seperti yang semua maklum, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mewajibkan semua pasukan untuk diswastakan sepenuhnya sebagai Kelab Bola sepak bermula musim 2021.

"Ini bermakna pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga sama ada Liga Super atau Liga Premier yang telah diswastakan sebagai kelab bola sepak layak untuk bertanding dalam semua pertandingan bola sepak anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Untuk makluman semua, Melaka United FC telah pun didaftarkan di bawah Melaka United Football Club Sdn Bhd yang diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif, telah diperbadankan sebagai Syarikat Persendirian di bawah Akta Syarikat 2016 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 10 Ogos 2020.

Sehubungan itu pasukan Melaka United bakal dikenali sebagai Melaka United Football Club atau singkatannya MUFC bermula musim 2021," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!